Friday, June 13, 2014

Aku dan Budak Baru

Mungkin aku tidak patut untuk menulis tentang ini tapi sebab aku rasa ini tidak lebih dari satu perkara yang memberi aku satu cara baru melihat manusia maka aku tuliskan.

Mukadimah.

Siapa yang kenal aku dengan rapat pasti tahu bagaimana akrabnya aku dengan buku, bagaimana cintanya aku pada buku dan kisah dalam buku, bagaimana aku mampu beremosi dengan mudah hanya kerana tulisan-tulisan kemas yang menyerlah berkata-kata dalam buku. Lalu kerana itu aku memilih untuk sentiasa berada bersama buku.

Aku sudah lama berhenti membaca  novel-novel cinta melayu yang semakin berlambak di pasaran, aku memilih untuk tidak mahu lagi membaca cerita-cerita fantasi yang direalitikan oleh penulis-penulis muda yang kadang-kadang terlihat sungguh terdesak membuat kisah. Ini kerana aku rasa aku tidak mampu beradaptasi dengan cerita fantasi yang direalitikan oleh penulis-penulis muda, maka aku berhenti dan kemudian mencari sesuatu pembacaan baru yang mampu beri aku desahan nafas yang lebih sesak, yang mana mampu membuat air mata aku mengalir tanpa diminta-minta, tanpa dipaksa-paksa.

itu kisah aku dengan buku.

Alkisahnya.

Tengahari tadi aku masih didepan PC menunggu giliran aku untuk menunaikan jadual kerja kaunter, kemudian lalu ditepi adalah seorang budak baru yang akan memulakan kerja kaunternya baru hari ini, kemudian tanpa niat disebalik aku tegur dia dan ingatkan dia untuk makan tengahari lebih awal dari kebiasaan kerana jadual kaunternya. Dia menggeleng menyatakan tidak mahu makan kerana telah kenyang. Ok. aku kira itu perbualan paling common antara aku dengan dia.

Tiba-tiba dia terpandang Novel Andrea Hirata -Lasykar pelangi atas mejaku, dengan nada sinis dia berkata " ehh baru nak bace?, saya dah lame dah baca buku ni, best". Aku senyum, ya aku baru mahu membaca buku ini itupun setelah aku membaca kesemua tetralogi laskar pelangi yang lagi enam. Tapi tidak pantas lidahku berkata begitu dan aku cuma menjawab saya memang suka membaca.

Mungkin cerita aku dengan budak baru ini biasa-biasa sahaja tapi aku sedikit terkesan pada nada suaranya berkata tentang buku yang aku SEDANG baca. mungkin dia fikir mendahului seseorang dalam pembacaan adalah hebat tak tergugat.

Dan selepas aku berkata aku memang suka membaca budak baru itu kembali menyambung, " saya pun suka buku, setiap kali ada pameran buku saya memang pergi dan beli buku novel banyak-banyak, last sekali saya ke Big Bad Wolf saya nak cari buku life of P.I tapi tak jumpa" katanya. Aku betulkan " Life of Pi" dan hanya setakat itu sahaja yang aku mampu.

Mungkin aku sudah tiada hati mahu menunjuk-nunjuk, syukur juga untuk kisah kami tengahari tadi aku mampu untuk menahan diri dari menjadi riak. biarlah.

Buku, pada seseorang mungkin sekadar bahan yang boleh dibaca dan perlu dihabiskan sampai situ sahaja, tapi pada aku buku yang aku baca aku mahu jadi satu kisah yang melekat dalam jiwa bila ianya sungguh mengesankan, kerana itu aku memilih untuk berhenti dari membaca novel yang muluk-muluk. Aku mencari satu kisah yang bukan sahaja mampu meruntun rasaku tapi memberi aku nilai jiwa yang lebih besar.

Maaflah, mungkin aku agak pesimis dengan novel-novel mainstream di pasaran tapi itu tidak bermaksud aku membenci mereka dan peminat-peminat mereka, cuma kerana aku memilih untuk tidak membaca mereka. Jangan pula ada yang judge aku sampai melaknat. Ingin sekali aku dimengertikan dalam hal ini.


Anggap saja ini catatan bodoh aku dan si budak baru juga luahan aku kerana buku. Itu saja.



Wednesday, June 4, 2014

mengadu

Aku tak tau samada nak terus suruh untuk bersabar atau apa? - Kata seorang sahabat baikku.

Aku gelak geli hati, aku faham bila seseorang itu telah terlalu bersabar dan bila dia hampir-hampir patah dalam bersabar perkataan sabar itu sendiri bawa maksud yang sangat sedikit dalam diri. Mungkin juga hampir kepada hilang sabar.

Aku faham perasaan dia, tapi aku tak tahu nak respon macamana, mungkin aku boleh dengar tapi setakat dengar tanpa cakap apa-apa mungkin tidak akan membantu - Kata dia lagi.

Aku angguk-angguk, ya, lazimnya manusia memang perlukan seseorang untuk meluah rasa yang terbuku dalam hati. Dan kadang-kadang juga manusia lebih selesa bila ada orang yang sudi mendengar luahan hati tanpa perlu berkata apa-apa, tapi tidak dinafikan ada juga manusia sebaliknya, dia lebih selesa bila kawan 'telinga'nya sama-sama mengutuk, sama-sama mengata, walau sekadar setakat hanya untuk menyenangkan hati saja.

Tapi, keadaan sama akan terus jadi berulang-ulang, hari ini dia mengadu, lusa mengadu lagi, tiga hari kemudian mengadu lagi dan mengadu semua perkara yang sama - Dia sedikit mengeluh.

Lalu, aku teringat dalam satu ceramah atau buku yang pernah dibaca atau benda yang sedang viral di media social, entahlah, tapi katanya lebih kurang begini- manusia kalau dia mengadu pada manusia juga, dia tidak akan dapat apa-apa kerana mungkin bila mengadu dengan manusia kita akan rasa ringan tapi bebanannya tidak akan hilang dan manusia bila dia mengadu dengan yang Rabb, meminta sungguh-sungguh bukan sahaja beban itu diringankan malah mungkin boleh 'lift-up' begitu sahaja, dengan kuasa kasih-sayang dan rahmatNya.

Aku diam, mungkin inilah yang sepatutnya, dia sepatutnya cari Ya Rahman-Rahim (Pengasih-Penyayang) dalam setiap deritanya.