Showing posts with label ramblings. Show all posts
Showing posts with label ramblings. Show all posts

Friday, April 8, 2016

Anak patung

Dulu kecik-kecik aku memang suka main anak patung. Konon-konon feeling ada anak patung ni jiwa halus, dalam,sensitif.

Sebabnya, anak patung ni bawa kemana saja,dengar semua perkara dan boleh diberitahu apa saja.

Tapi bila dah dewasa lagi-lagi lepas jadi mak, anak patung sudah tidak nampak indahnya. Ia sekadar satu objek tidak bernyawa yang tidak tahu dan tidak faham apa-apa.Bongok!

Menyesal aku percaya pada anak patung dulu-dulu. Kalau aku tau aku akan rasa begini besar nanti aku campak habis anak patung yang aku pernah ada.

Muktamad, anak-anak aku memang tak akan terjebak dengan segala macam ilusi bahagia anak patung biar diorang juga tahu chucky yang jahat tu pun anak patung juga.

Kesimpulannya;
Jangan pernah percaya kisah yang sweet-sweet macam kat TV tu. Kerana semua cerita sweet akan buat kamu berkhayal banyak benda bodoh.

Percayalah, dunia dan hidup kita bukan sekadar seperti anak patung je. Berpuluh ganda susahnya dari itu tau.

Siapa percaya anak patung. Jahanam lah perasaan. Tak payah nak percaya sangat. Tak guna pun.

Tuesday, June 23, 2015

Potong

Aku tengah khusyuk layan lagu coldplay dua-dua telinga aku sumbat earphone. Terasa Deep!

Tiba-tiba, datang seorang hamba Allah ni tegur aku sambil jeling phone aku dan terlihat playlist lagu aku tengah main.

"wahhh....dengar coldplay dah ke sekarang, pasal buku HLovate ke?" sambil sengih-sengih, sinis.

Terus, aku cabut earphone dan pandang dia. kosong. 

Potong betullah dia ni.

keciknya dunia dia tentang muzik. 

sekali lagi, POTONG betullah!!!

Monday, June 15, 2015

Doaku pada kekasih

Dulu-dulu, masa aku belum yakin pada Tuhan aku selalu minta agar sakitku terasa oleh sang kekasih. Dulu-dulu, masa aku belum mahu berserah aku selalu harap agar sang kekasih akan jatuh dan tersembab seperti aku juga setiapkali. Dulu-dulu, masa aku tidak kenal syukur aku selalu meminta agar setiapkali sang kekasih buat aku menangis dia juga akan menangis sendu bersama aku selepasnya.

Perlahan-lahan,
Ya, bertatih aku. Jatuh dan bangun. Bangun dan jatuh lagi. Kemudian menangis dan menangis dan terus menangis lagi.

Sampai aku jumpa pandu arah, yang bagi aku direction dan buat aku berpusing -pusing lalu pening dan jatuh koma.

Lama baru aku terjaga, macam orang bangun terkejut. Mamai tapi sedar. Aku dengar orang sekeliling aku berdoa. Memohon kesejahteraan untukku. Dan disatu sudut dihujung sana aku lihat sang kekasih berdiri tenang dengan tangan bersilang dihadapan. Keseorangan.

Aku selam pandangan anak matanya. Kosong. Aku selam lebih dalam lagi. Jauh ke dasar jiwanya. HANCUR.

Terkesima aku.

Sepatutnya, aku doakan dia untuk terus mengasihi biar nanti pergiku dia tidak mati. Seharusnya aku doakan dia agar tidak disakiti agar nanti matiku dia tidak luluh. 
Sewajarnya aku doakan dia agar tidak menangis kelak aku tiada dia punya kenangan indah sebagai alasan untuk terus mengingati aku.

Itu yang aku minta. Dan begitulah yang aku dapat.
Kalaulah aku minta sebaliknya. Mungkin aku juga dapat apa yang selayaknya.

Selama mana masaku masih ada. Aku akan kembali. Dengan doa untuk sang kekasih. Yang elok-elok, yang baik-baik agar saling mengasihi.

Tuhan, 

Tolonglah hidupkan aku kembali, aku yakin kini Kau Maha Mendengar segalanya. Aku mahu duduk dan berdoa yang baik-baik buat sang kekasih.

Friday, May 1, 2015

Hi May!

Eh! esok dah bulan mei lah. tiba-tiba.

aku suka bulan Mei tahun ni sebabnya ialah :-

* aku bawak family aku pegi tidur hotel barang sehari dua, jalan-jalan hiburkan hati. dekat-dekat sini je pun tapi as long anak-anak happy. Aku dah cukup happy dah. Alhamdulillah.

* Sambil bawa anak-anak mandi swimming pool, boleh juga kot aku cakap aku pegi holiday ni as a remedy untuk aku juga, nak rehatkan kepala yang serabut barang sehari dua.

* Birthday aku sempena yang ke 35 tahun. seriously! 

* Macam selalulah, azam aku untuk diri aku sendiri - jadi orang yang lebih baik dari sebelum-sebelum ni walaupun dah banyak kali sangat dah aku 'jatuh'. 

* Nak cuba belajar dan tengok hidup in a bigger size. 

* Nak cuba menikmati sisa-sisa umur sebelum menginjak 40 tahun. (lagi 5 tahun)

Itu je kot.

kalau nak tulis details memang banyak, sangat banyak.

akhir kata, Hi May - Let The sunshine In!

Thursday, April 30, 2015

Buku - The fault in our stars

aku baru habis baca buku " The fault in our stars" tulisan John Green. Kisah Hazel Grace dan Agustus Waters, kisah cinta dua orang remaja yang mengidap kanser.

Well, sebenarnya aku baca yang versi melayu, translate by Fixi. Tapi, sebab aku kira penggunaan bahasa melayu dalam buku itu agak ranggi jadi aku ingat nak beli buku versi inggeris pula nak tau samada ianya betul-betul ranggi seperti dalam terjemahan.

kalau sekadar nak menghayati buku itu dalam terjemahan melayu, aku kira bahasa yang digunakan agak kurang memberi kesan dan kalau nak aku komen pasal bahasa versi inggeris tunggulah nanti lepas aku beli dan baca.

Tapi, aku suka jalan cerita dia, tak berat dan sesuai dengan umur-umur watak dalam tu.Oleh kerana aku tahu ada filem adaptasi dari buku dan seperti kebiasaanya sambil-sambil membaca aku sambil-sambil membayang juga waja-wajah watak dalam buku ni. Aku duk bayang Hazel Grace tu perempuan berambut kuning yang kurus, pucat tetapi menarik. Dan aku bayang Gus tu adalah pelakon yang bawa watak Hank dalam filem x-men: first class.

lepas tu aku google, then aku dapat ni.

hampir sama cuma rambut tak sependek ini dalam bayangan

kemudian,

berwajah nerd dan polos.

Tapi sebaliknya,

????

Kecewa jugak lah aku bila tengok watak si Gus tu, Tak kena langsung dengan taste aku, lagi-lagi tengok cara dia senyum tu.Errrrrkkkk.............

Apapun, storyline buku ni simple je. Jenis yang tak perlu fikir banyak-banyak walaupun state of emotions cerita dia boleh tahan jugak. Dan yang paling aku suka ialah buku ni bagi aku reason untuk sambung balik baca The Diary of a Young Girl oleh Anne Frank. 

Nanti kalau ada masa aku review lah juga buku ni, tapi lambat sikitlah kot almaklumlah aku ni kan baru berjinak-jinak dengan novel inggeris.


Tuesday, April 21, 2015

satu perasaan

Aku paling suka dengan satu jenis perasaan ini. Yang aku tengah rasa sekarang ini. 

Perasaan yang boleh bagi aku rasa relieve macam bersalin kulit. Berada di satu tempat berbeza yang bagi aku rasa seriously seronok yang kemudian buat aku terus termotivasi untuk terus berhidup. Berkobar-kobar.

Mungkin lebih dekat kalau aku kata jenis perasaan yang aku rasa sekarang ini adalah remedy * untuk aku. Walau mungkin aku tengah serious tapi hati tetap berbunga-bunga indah.

Besok pagi, lusa, tulat, langkat dan sampai bila-bila aku harap aku akan kekal dengan jenis perasaan yang ini.



* i) a medicine or treatment for a disease or injury.
   ii) the margin within which coins as minted may differ from the standard fineness and weight
  

Sunday, April 19, 2015

vale of tears

Dunia memang tak dicipta untuk memenuhi hajat kita. Di ruang- ruang sedih yang kita ada antara masa-masa gembira yang kita punya akan terselit satu ruang ketiga yang diantaranya adalah tentang rasa kedua-dua sedih dan gembira. Dan itu adalah realiti sebenarnya.

Monday, April 13, 2015

cepatlah berlalu April

Bangun pagi hari ni perkara pertama yang terlintas dalam kepala aku ialah :

cepatlah berlalu APRIL, do me good. aku nak balik kampung, rumah bapa aku. kalaupun tak lama tapi sekurang-kurangnya dapat untuk aku meluah rasa, mengenang luka, muhasabah diri.

Sekian.

Tuesday, April 7, 2015

klise

Mereka bisik-bisik
sambil jeling-jeling

Dia serba-salah
lalu salah tingkah

Dia berkata 
"susahnya nak menjaga hati manusia"


Thursday, April 2, 2015

GST

ehem, selamat ber GST sekalian rakyat marhaen.

Pagi-pagi lagi orang dalam ofis aku bising-bising dah pasal GST, yang sorang tu katanya baru lepas bertekak dengan pekerja 7E sebab charge dia 60 sen beli topup maxis.

Yang si tudung hijau pula membebel tak habis bila paper tulis Bung Mokhtar cadang buat dana khusus untuk para ahli parlimen. kami yang kuli ni siapa pula yang nak tolong tambah dana katanya?

Yang lagi 2, 3 orang membebel pasal susu tepung dutch lady yang naik harga tapi turun gram.

Aku?

membebel juga, dan aku rasa aku punya bebel tu lagi dahsyat dari bebelan kawan-kawan opis kat atas tu. Tapi dalam hati jelah.

Sebab, nak bising macamanapun. Regulation tetap je jadi regulation. ruler sedia ada tetap jugak naikkan harga, like hell!
Kita yang marhaen ni jugalah yang pikul semua beban. Hmmmm.

p/s : mengeluh lagi dan lagi mengeluh. Tu Jelah.





Tuesday, March 31, 2015

Musuh dalam Selimut

Cuba agar jangan sesekali pernah terpedaya sesama manusia, kerana :

Ada manusia yang dari satu sisi dia kelihatan amat sempurna tapi sebaliknya dia adalah sejahil-jahil manusia biarpun lahir dari keturunan yang sepangkat ulama.

Aku mintak sangat supaya dalam hidup aku yang mendatang aku tidak akan sama sekali punya takdir dengan manusia begini.

Manusia yang adalah musuh di dalam selimut.

Sunday, March 29, 2015

Tersumpah Oleh Kegemukan Diri Sendiri

Mungkin aku patut rasa paranoid pada kenaikan berat badan yang seakan sumpahan ini.

Choi!!!!

Friday, March 27, 2015

perasaan yang belum teruji

Aku seakan terbit sedikit kurang puas hati bila kenalan yang hampir dua tahun bercerai akhirnya berkahwin semula. Entah.

Aku fikir cinta dan kebahagiaan tidak ditemui semudah itu selepas beberapa siri kejatuhan yang menyakitkan. Aku kira begitulah.

Tapi, soal hati kan bukan hak siapa-siapa. Seru jodoh juga bukan kita yang pinta. Mungkin benar soal takdir dan jodoh itu kuasa Tuhan semata-mata, mungkin tersangat benar sebenarnya, tapi sedikit daripada kemungkinan kepada kebenaran itu juga adalah dari hasil usaha dan tindakan kita juga, perhaps.

Aduh.

Kalau beginilah aku kala berhadapan dengan ujian perasaan, yang kalau hilang cinta lama dan berganti cinta baru, aku harap-harap (sungguh-sungguh) Tuhan tidak uji aku dengan kehilangan cinta yang ada kat tangan aku sekarang kerana aku yakin aku tidak mungkin semudah-mudah untuk menggapai cinta baru yang menjengah mencuba nasib. 




Wednesday, March 18, 2015

Rezeki dari langit

Dari semalam rakan seunit aku kat ofis duduk bising pasal pelarasan simpanan ASB yang dia dapat. Alkisahnya, jumlah simpanan dia lebih dari yang dia jangkakan adalah lebih dalam rm600 bila ditanya kat cimb (bank tempat dia update buku) bank kata itu jumlah pelarasan yang dia dapat.
Cuma yang dia hairan tu, macamana boleh dapat pelarasan banyak tu bila simpanan dia banyak ni je. Lebih kuranglah. 

Lepas 2 hari dia bising- bising aku pun cakap lah.

"terima je lah dulu, anggap je bank tersalah adjust. Kalau dia dapat detect dia ambik lah balik tu. Kalau tak anggap je lah rezeki dari langit"

Habis je aku cakap. Tidak semena-mena kawan-kawan lain bersuara. "ehhhh....mana kau belajar ada rezeki dari langit? Ingat duit boleh jatuh sedebuk macam tu je ke?".  Kemudian seorang lagi tambah "kalau ye pun nak miracle janganlah minta yang out of boundary sangat" katanya sambil menamatkan ayat dengan kata-kata sinis "gilo ko apo?"

Aku yang tadi tergelak-gelak terus tutup mulut. Diam. Tak lah sentap cuma rasa biarlah itu pendapat dia dan pendapat dia tu tak salah sikit pun.

Cuma aku nak cerita tentang aku lah pula. Aku pernah lah tak lama dulu mungkin dalam tahun lepas, kitorang masa tu memang tengah sengkek gila. Dalam wallet aku adalah dalam rm40 kot. Aku dah bajet ngam-ngam.

Kemudian adalah satu petang tu aku nak beli susu anak. Susu isomil soya yang dalam tin 900gram tu harga dalam rm68, duit kat tangan tak cukup jadi aku kenalah withdraw kat atm. Bila aku terpandang balance duit aku memang terkejut gila. Dua tiga kali aku cek tarikh kat resit memang tak silap.
Balik rumah aku cek lagi guna clicks. Masih amaun sama. Ada balance lebih kurang (amaun aku tak payah cakap la tapi taklah sampai sejuta). Aku tanya bapa budak sampailah adik beradik dan kawan-kawan aku yang aku fikir ada potensi nak bagi aku duit, semua cakap tak de.

Dalam rekod transaksi duit yang amaun tidak boleh dinyatakan tu dimasukkan menggunakan cdm machine. Sampailah aku tanya balik kat bank cdm mana yang digunakkan untuk masuk duit tu dan rekod bank ialah dekat cimb sentul raya tempat aku selalu pergi jugak.

Lama jugaklah kitorang tertanya-tanya, duit tu memang tak usik sebab terfikir juga kot-kot bank error. Tapi memang tak gerak-gerak pun. Sampailah ada satu keadaan aku aku memang terdesak sangat-sangat nak guna duit, jadi dengan  terpaksa aku guna duit tu juga tapi dengan niat aku memang nak ganti sangat-sangat juga. 

Sampai sekarang duit tu pun masih macam-macam tu juga, yang aku dah terpakai pun aku dah ganti dah pun. 

Bila aku cerita kat bapa dia cakap senang je.

"Rezeki dari langit lah tu" 

Entahlah. Tapi bila jadi kat kawan opis, aku pun cakaplah macamana bapa aku cakap kat aku. 

Dunia ni kan hak Allah, ada rahsia Allah yang kita tidak akan tahu misterinya macamana. Kot-kot lah memang duit dalam akaun aku dan kawan opis aku ni memang rezeki dari langit kan?







Monday, March 16, 2015

Redha Suami, Redha Allah

Aku sebenarnya dah lama nak tulis pasal benda ni. Tapi sebab aku sentiasa takde masa santai yang luang,  maka tergendala lah agenda untuk entry ini.

Tidak berapa lama dulu, awal tahun ni lebih kurang aku ada berwassap dengan kawan opis lama. Lama kami sembang. Panjang kami borak. Sampailah kawan aku ni bercerita pasal life dia sekarang.

Ok, kita namakan kawan aku ni eja.

Sepanjang aku kenal eja ni dia memang jenis yang soft spoken, Orangnya agak tinggi berwajah manis. Dia pernah cerita kat aku yang ini adalah perkahwinan kali keduanya. Perkahwinan terdahulu ada anak lelaki 2 orang. Besar-besar dah. Yang abang duduk dengan bekas suami dia dan yang adik dengan eja.

Berkahwin kali kedua. Jodoh eja agak complicated sikit bila dia berjodoh dengan suami orang, isteri kedua la dia ni kiranya. Tapi dari apa yang eja cerita madunya yakni isteri pertama suami barunya ini tiada halangan pun bila mereka bernikah. Dan berdasarkan cerita eja juga suami baru dia ini seribu kali baiknya berbanding suami lama. Beberapa tahun hidup bersama, rezeki hidup eja bertambah lagi dengan kehadiran cahaya mata bersama suami baru.

Tapi, entah macamana takdir hidup eja mula bergolak. Dan rentetan dari pergolakan itu suasana harmoni rumahtangga pada mulanya kini semakin berantakan.

Adalah sebab-musabab yang aku tak perlu tulis kat sini. Cuma yang aku tertarik sikit bila dalam wassap tu eja tulis kat aku (lebih kurang) " macamana nak dapat redha Allah, kalau suami tak redha. Suami tak redha, Allah pun lagi tak redha".

Aku mula-mula memang tak tahu nak respon apa, lama jugaklah aku memikirkan perkara ni dan aku tidak nafi sedikit sebanyak memang aku ada bersetuju dengan statement kawan aku tu. Tapi aku rasa berbanding nak cari redha suami lebih tinggi lagi kewajiban untuk mencari redha Allah. Memanglah dalam ajaran agama pun ada disebut tentang isteri wajib mentaati suami tapi itu hendaklah padan dengan kriteria suami macamana yang wajib untuk ditaati tanpa culas.

Kalau suami tu jenis yang kaki disko sambil kelebet perempuan gro, tiap malam lepak kedai mamak sampai jam 4 pagi, solat entah ingat entah tidak apatah lagi nak buat,puasa jangan cakap lah,  dan walaupun lelaki jenis ini tak pernah angkat tangan tapi tanggungjawab pada anak-isteri dia langsung tak langsaikan aku rasa tiada alasan kuat untuk si isteri itu mengadap nak mencari redha suami semata-mata sebab terang-terang dia memang tak layak.

Lain cerita bila si suami itu adalah lelaki yang beriman, taat pada ajaran agama, patuh pada hukum-hakam, jenis yang tak angkat tangan juga tapi pikul tanggungjawab anak-bini atas bahu, ini aku rasa tak ada alasan untuk kata tidak pada lelaki jenis yang ini.

Pada aku lah, darilah si suami mahupun si isteri aku rasa lebih afdal sama-sama hidup dan mencari redha Allah dulu, dah nama pun manusia biasa. Dan manusia itu tidak pernah sempurna jadi memang tak akan ada kesempurnaan. Daripada mencari redha manusia yang tak sempurna lagilah baik cari redha Allah yang tak pernah bertepi.

Macamana pula kalau lelaki itu jenis suami macam yang aku tulis di kriteria kedua diatas adalah jenis yang kaki segala kaki, kaki solat, kaki puasa, kaki pukul juga? itu kita cerita bab lain. 

So, berbalik kepada kawan aku eja tadi dan macam yang aku tulis sebelum ni. Aku memang tak respon dia apa-apa. Aku tak kata setuju mahupun tak setuju dengan dia. Dan sekian lama dia pun takde sebut lagi pasal suami dia dan krisis diorang, aku anggap samada eja mahupun suami dia dah ada konklusi untuk masalah rumahtangga mereka.

Aku doa agar semuanya baik-baik saja dan aku harap kawan aku ni akan menemui redha sebenar yang dia cari. Insha Allah.

Wednesday, March 11, 2015

Perasaan

Aku paling benci berexperimentasi dengan rasa. Memandangkan aku ini perempuan yang lahir dengan penuh beremosi maka setiap bintik rasa yang datang menerjah aku akan simpan, pendam, telan dalam-dalam. Kemudian aku akan tidak berhenti berfikir tentang rasa yang menerjah sampai otak aku buntu.

Dan semua proses ini tidak berlaku dalam sehari, seminggu atau sebulan biasanya akan ambil masa yang agak lama juga. Mungkin berbulan-bulan dan setelah puas memendam rasa kemuncaknya ialah aku akan meletup. Tapi dalam banyak cara lah.

Paling ringan aku akan menangis non-stop. Dalam bilik air, tengah masak, sedang membaca, tengah berak, hatta berbaring atas katil sebelum nak lelap pun air mata aku memang tak akan berhenti mengalir. Aku akan menangis sampai tertidur natijahnya besok pagi aku akan bangun dengan mata bengkak sebesar penumbuk dengan penuh kelesuan dek penat menangis. Fenomena yang ini memang selalu berlaku kat aku.

Paling teruk ialah aku akan mengamuk sampai puas hati. Hentak, hempas, buang, pecah. Yang ini pula jarang-jarang aku buat. Aku malas bila jiran aku terintai-intai dengar bunyi macam eksiden kereta dalam rumah aku.

Paling tragis aku pernah buat ialah meroyan sampai penampar, sepak terajang dan segala aksi bergaduh dalam TV aku apply. Tapi yang ini seingat aku baru sekali kot jadi kat aku.
Sebab itu aku kalau boleh sangat-sangat mengelak untuk bermain dengan rasa. Aku takut gerimis-gerimis amarah yang aku simpan dalam-dalam dan kumpul lama-lama akan buat aku hilang banyak pertimbangan diri.

Kalaupun terpaksa berhadapan dengan ujian perasaan ini, aku harap lepas ni aku boleh bertindak lebih matang dan mampu untuk mengawal diri.

Lepas ni, aku kena cari ilmu nak mengawal perasaan lah. Untuk kebaikan aku di masa hadapan juga.

Nak menuntut ilmu ni kat mana ya? Rasa-rasa kat Youtube ada tak?

Tuesday, March 10, 2015

Marhaen

Rupanya di Malaysia ni, menyatakan ketidakpuashatian sendiri secara automatik akan menjadikan kita orang yang bersalah. Aku fikir selama ini DSAI saja yang kena.

Jelas, kejadian begitu dah sebati dengan para Malaysian,  sejak azali lagi kot.

KAH KAH KAH

Eh. Apesal aku tiru tukartiub pulak ni?

Monday, March 9, 2015

Memory mak, umur dan taste aku

Oleh kerana mak aku meninggal waktu usia aku baru nak masuk 14 tahun dan memandangkan aku duduk asrama sejak dari tingkatan 1. Maka bonding mak-anak perempuan antara aku dan mak aku agak kurang. Tidaklah bermaksud aku tak rapat dengan mak aku cuma aku fikir tempoh 13 tahun menjadi anak perempuan bongsu mak adalah tempoh yang sangatlah singkat untuk aku mengenal, dibelai mahupun untuk berkongsi cerita dengan mak.

Tapi, dalam kependekkan masa yang aku pernah ada mak, aku ingat satu peristiwa yang memang aku tak akan lupa sampai bila-bila. Yang betapa seorang mak itu memang punya hati yang terlalu dekat dengan anak-anaknya. Yang seorang mak itu sentiasa mampu untuk menebak hati anaknya biarpun terselindung.

Bapa aku sebenarnya ada tanah kebun getah yang boleh tahan juga luasnya. Adalah mungkin dalam 50 ekar itu yang kebun getah semata-mata tak termasuk tanah sawah dan bukit lagi. Bapa aku akan pajakkan kebun getah dia untuk ditoreh oleh orang lain. Adalah perkiraan untungnya macamana tapi yang itu aku tak tau sebab bapa aku tak pernah tunjuk.

Masa tu aku ingat bapa aku pajakkan kebun 10 ekar pada seorang lelaki bujang dalam lingkungan umur 30-an dan juling sebelah mata. Orangnya sederhana tinggi, berkulit agak cerah, berbadan agak gempal dan selalu pakai cap kelabu lusuh namanya aku tak ingat tapi rasa macam nama lelaki ni eksotik sikit lah. 

Kami adik beradik biasanya jarang berbual dengan mana-mana pekerja bapa aku. Mungkin rasa up sikit sebab jadi anak tokeh pajak kot. He he he.

Tapi adalah satu hari tu, dia datang ke pondok tempat kami anak-beranak berehat. Lazimnya, cuti sekolah kami adik-beradik memang akan dihabiskan di kebun getah bapa. Sambil-sambil cari duit sekolah. Aku dan adik aku biasanya akan ditugaskan untuk kutip sekerap dan kentalan. Yang abang - kakak aku pula ikut bapa aku menoreh memandangkan diorang pun dah sekolah tingkatan dah masa tu.

Standard lah, mak- bapa zaman kita dulu- dulu biasanya diorang memang ajar anak-anak hidup susah dulu. Masa tu tinggal mak dan aku je yang ada. Abang, kakak, adik dan bapa aku, tak pasti mana. Mak aku tengah basuh-basuh bekas bekal makan kitorang anak-beranak tengahari tadi.
Dia tegur mak aku dulu, cakap bahasa ibunda kitorang lah,bahasa dusun. Dia tanya mana bapa aku, lepas tu mak aku jawab tapi aku lupa jawaban mak aku yang bapa aku kat mana. Kemudian dia bagitau mak aku yang dia ada nak pakai duit sebab dia nak balik kampung dia kat Tamparuli. Mak aku jawab nanti dia akan bagitau bapa aku. Tapi mak aku juga cadang lebih baik orang tu datang rumah malam nanti jumpa bapa aku sendiri. Dia setuju.

Kemudian tidak semena-mena lelaki itu pandang aku yang tengah meneliti mata dia yang juling. Terus tanya aku "adik darjah berapa?" Tergagap-gagap aku jawab "bukan darjah, dah tingkatan satu "sambil mata pandang mak aku yang masih lagi membasuh bekas bekal kitorang. Aku tipu sebenarnya. Masa tu seingat aku, aku lebih kurang dalam darjah 4 atau lebih tepat tengah cuti sekolah nak naik darjah 5. Muka mak aku sikit pun tak berubah malah mata dia pun sikit tak pandang aku. Lelaki ni pun cakap  " ooo...abang pun ada dua orang adik perempuan. Sorang tu nama Anita tahun ni periksa upsr, yang bongsu tu nama dia Alina baru darjah 4" panjang lebar dia bercerita. Aku angguk-angguk sambil mata masih pandang mak aku.

Dalam perjalanan balik rumah, aku borak-borak dengan mak. Mak jalan depan dan aku jalan belakang sikit. Teringat peristiwa atas tadi aku pun tanya mak." Mak, mak tau kan tadi dida tipu?" tanyaku segan-segan. "tau" pendek je mak aku jawab. " Mak tak marah ke dida cakap bohong?" aku tanya lagi. Kemudian mak aku jawab " Marahlah...siapa orang tua yang tak marah anak kalau pandai menipu? Tapi tadi tu kalau mak bagitau kamu tipu depan dia mesti kamu malu kan? Jadi mak dengar je lah. Lagipun kamu cakap begitu sebab kamu nak nampak dah besarkan?" Di belakang mak aku senyum sumbing. Memang niat aku cakap begitu pun supaya orang tu tak nampak aku macam budak-budak. Walaupun tingkatan 1 tidaklah sedewasa mana tapi waktu tu aku memang rasa yang budak tingkatan memang cool.

Tiba-tiba mak aku sambung lagi " Kalau kamu nak dia tu mengorat kamu sebab dah besar, tak payahlah da, dia tu sikit pun tak hensem mata juling pulak tu"

Serta-merta,  pipi dan cuping telinga aku rasa panas. Malunya aku masa tu rasa macam nak lari sorok celah batu. Dan ketika itu juga aku sedar rupanya taste mak aku lagi class dari taste aku masa umur  aku darjah 4. :) :) :)

P/s: taste aku sekarang dah upgrade bukan setakat lelaki gempal bermata juling dah. Ha ha ha.

Friday, January 9, 2015

Beyond everything.

Well, well.

I was planning my life back again , re-planning actually. And since people were made to be scared of something unknown, i admit i was merely one of them. I am afraid of whatever thing not to be happen yet or maybe never be happened at all.

Ever since, i was the one who always talk about misery in life (my misery probably). So that may connect to each other. Fine.

Ah, again. Ehem. Well, what actually i want ? 

Urgh. i think, thing wasn't work well for me right now and i am still don't know what to do or what to be or what to think and there i decide to just follow the flow. Tawakkal.

pause. Long breath.

This is it.

God, please help me in and out, guide me, guide my heart and my life to brace this life brave. Amen.

p/s : Pray for me and be honest.






Thursday, January 8, 2015

Hye, 2015

Baru beberapa hari.

Tiada apa cerita nak dikisahkan sangat pun, cuma hidup bekerja dan suasana bekerja itu rasa sangat menghimpit. Tak seronok langsung.

Tahun lepas aku dah plan satu-satu hidup aku tapi nampaknya awal-awal lagi semua plan itu satu satu lari dari tajuk, bukan sikit-sikit tapi memang berterabur habis. Macam satu bab cerita yang kau baca tapi satupun kau tak dapat tangkap jalan cerita yang sebenar. Yang sepatutnya kau kena baca ikut kronologi bab 1 kepada bab2 kepada bab3 dan seterusnya, tapi jadi macam bab1 kepada bab7 kepada bab5 kepada bab2.  

Untuk yang itu aku akui automatik aku jadi serabut, darilah hal besar sampailah hal remeh-temeh aku kena susun balik macam susun puzzle, perca separuh lengkap yang perlu dilengkapkan. Tapi, sebab aku tak tahu nak express macamana jadi aku tulis itupun setakat yang boleh aku ekspresikan dengan tulisan.

Cuma, aku tak nak bersoal-jawab dengan Sang Murabbi, aku anggap segala keserabutan ini disebabkan oleh khilaf aku yang mungkin tak berapa nak ligat bertindak , kalaulah aku boleh beri alasan kenapa dan mengapa kronologi kejadian yang telah menjadikankan keadaan yang berterabur ini.


Saat aku menaip ini pun aku masih kabur dengan apa yang sepatutnya apa aku nak kena buat. Rasa malu pula nak mengadu dengan Yang Rabb, sebab selama ini aku tahu aku sentiasa tersasar. Tapi kalau bukan Dia, siapa lagi kan?

siapalah kita, manusia ini yang sekadar mampu merancang tapi as per said : manusia hanya merancang Tuhan yang mentakdirkan segala inci hidup