Kalau ada sesiapa yang perasan sepanjang bulan Mei ini saya lebih cenderung untuk bercerita mengenai kehidupan saya sebagai seorang ibu kepada 2 orang anak lelaki yang sangat aktif, keletah anak lelaki saya, Dhani yang semakin membesar juga satu-dua post mengenai isu perempuan/ibu...kecuali beberapa post update mengenai isu-isu semasa berkaitan dengan kenaikan harga barangan yang juga sebenarnya secara tidak langsung ada kaitannya dengan isi-rumah.
Rasional saya menulis mengenai kisah 'berbaur' wanita ini adalah antara cara saya meraikan Hari Ibu yang mana saya sebenarnya telah kehilangan ibu kandung seawal umur 14 tahun dan setelah 17 tahun berlalu saya kini telah menjadi seorang ibu kepada 2 orang anak lelaki dan saya pasti akan bertambah bilangannya akan datang.
Tempoh 14 tahun bersama dengan ibu saya sebenarnya meninggalkan saya kenangan yang terlalu sedikit tentang ibu, bayangkanlah seawal usia 13 tahun saya bersekolah di asrama dan ketika musim cuti sekolah pula kedua orang tua saya akan sibuk mencari nafkah untuk anak-anak yang seramai 9 orang..melalui kehidupan sebelum dan selepas bergelar isteri, kemudian pengalaman mengandung buat kali pertama, berhadapan dengan alahan yang teruk tanpa bertemankan seorang ibu memang amat menyedihkan. Betapa saya benar-benar cemburu bila melihat orang lain yang mempunyai ibu untuk dikongsikan segalanya...
Kini, setelah melalui kehidupan sebagai seorang ibu dan merasai kesakitan sama sewaktu melahirkan anak, saya sedar betapa besarnya pengorbanan ibu saya dalam melahirkan dan membesarkan adik beradik yang seramai 9 orang, saya yang anak baru 2 orang pun saya hari-hari mengeluh inikan pula anak seramai 9 orang yang jaraknya hanyalah selang setahun lebih atau 2 tahun seorang...bayangkan saja....Yang sedihnya saya tidak sedikitpun berpeluang untuk sekadar berterima-kasih kepada ibu saya atas semua pengorbanannya bertarung nyawa semasa melahirkan saya apatah lagi untuk memeluk mahupun mencium tangannya....
Betapa saya sebenarnya terlalu rindu dan berharap saya berkesempatan untuk melakukan semua itu...pasti saya akan merasa bahagia dan akan berlapang dada saat ini...setiap kali saya luahkan kerinduan kepada ibu pastinya hati akan sayu kerana saya tahu bahawa rindu saya padanya tidak akan pernah berpenghujung!!
Kepada mama...Selamat Hari Ibu..sesungguhnya kasihmu tidak akan pernah bertepi...peluk cium penuh kasih dan cinta dari anak-anakmu: Sis.Wina, Sis.Asa,Sis.Joe, Bro.Idun, Sis.Imi, Bro.Jusli, Dida & Irin...
Bro.Irin pay his respect to Mom... |
p/s : Dear Mom, i Love You ...but not enough....