Sunday, April 29, 2012

menggamit perasaan

Kadang-kadang, sekali-sekala - tidak dinafikan kenangan aku dengan sang mantan menggamit rasa. Kadang-kadang ada ketika, aku mengingati kisah-kisah lama dengan sang mantan,bila si dia yang indah - rasa istimewa, atau si dia yang manis - rasa bahagia, ada ketika hati juga goyah bila ada waktu aku pula membandingkan sang mantan dengan kehidupan masa kini.

Tapi, apapun kenangan dengan sang mantan - yang bahagia, mahupun yang manis - segala apa yang menggamit perasaan itu, akan berakhir dengan satu perkataan "SYUKUR" kerana aku tidak memilih mereka bila aku tahu dan sedar bahawa, apa yang aku punya kini sudah cukup untuk memberikan kebahagiaan -  dalam apa jua bentuknya.

Saturday, April 28, 2012

Perjalanan kita masih panjang sebelum kita menempuh kematian dalam apa cara yang wajar sekalipun.

Friday, April 27, 2012

Cinta yang agung adalah cinta yang gagal - Hishamudin Rais


benarkah?

Thursday, April 26, 2012

kian hampir

Mula-mula dulu, lepas je akad nikah aku terus bisik kat laki aku yang aku tidak bersedia untuk mengandung dalam masa terdekat - dia angguk.  First night sebelum aksi gomol, aku sekali lagi ingatkan dia,aku belum bersedia nak dapat anak - lagilah laju dia angguk, dipendekkan cerita empat hari lepas nikah aku dan dia terpaksa duduk jauh, aku balik sabah dan dia masih di kl, setiap dua bulan sekali dia datang jumpa aku - mungkin sebab itu hati aku 'lembut' - dan kemudian Allah bagi kami rezeki selepas itu - Ashjadhaniel. Alhamdulillah.

Kerana trauma sakit bersalin, sekali lagi aku berkalih - kalaulah aku ditakdirkan punya seorang zuriat saja, aku redha, tapi sekali lagi, Tuhan maha kaya - dan kemudian kami diberikan lagi rezeki selepas itu - Ashrafael. Syukur.

Sekali lagi, kerana trauma dan insisi yang agak besar kali ini aku nekad - biarlah, kalau takdir aku punya mereka berdua ini, aku redha sepenuh hati.

Tapi, Tuhan itu maha berkuasa, sekali lagi - tanpa dirancang dan tanpa dijangka-kali ini, aku sedang melalui fasa keibuan untuk kali yang ketiga yang setakat ini aku masih berteka-teki tentang adam kah atau hawa kah dia? - kali ini dalam pada berbelah-bagi - aku terima dengan hati terbuka walaupun hidup jadi semakin kalut dan kelam-kabut. Aku cuma tidak sabar untuk melalui rutin itu untuk kali yang ketiga - sakit dan seriau sudah pasti, moga terus dikuatkan semangat dan ditabahkan hati untuk semua perjalanan akan datang yang kian hampir.Amin.

Wednesday, April 25, 2012

#occupy dataran

Sudah hampir dua minggu dataran penuh dengan para demonstran, majoritinya muda-muda lagi, kadang-kadang bila saya lalu depan mereka yang berkumpul ramai-ramai tiap petang, mereka menyapa mesra - tersenyum dan tidak menganggu cuma adakala mereka menjerit sama bila ada motorist-motorist yang lalu dan menjerit-jerit kearah mereka.

Apapun, mereka berdiri atas perjuangan mereka dan saya selaku pejalan kaki yang lalu disitu setiap pagi-petang hanya mampu memandang para demonstran dan para pak bandaraya yang masing-masing berkumpul berasingan. no komen.

cuma, para demonstran mahupun pak bandaraya telah menjadikan sesi menunggu diambil suami setiap petang saya terasa selamat dan tidak perlu bimbang, tidak seperti hari sebelum dua minggu lepas bila saya sentiasa gusar menanti berseoranagn disitu, maklumlah dataran itu tempatnya pelbagai jenis manusia dengan pelbagai karenah setiap hari.  

Sunday, April 22, 2012

misteri - CINTA


Cinta bukan hanya sekadar luahan, ungkapan ataupun ucapan. Cinta malah lebih daripada semua itu, cinta adalah pengorbanan, cinta bukan bererti bahagia semata-mata- cinta itu adalah segala-galanya - baik yang manis mahupun yang pahit!

kerana cinta adalah misteri yang tiada siapa pun mampu mengerti - (sayap-sayap cinta ~ Ahadiat Akashah)

Saturday, April 21, 2012

Kadang-kadang kita tidak sedar

Hari tu aku rasa hati sangat kosong, jiwa rasa terlalu 'fragile'. Kalau saat itu ada orang cantas aku memang aku akan jatuh, bukan setakat jatuh terduduk tapi mungkin sampai jatuh terlentang, dan mungkin tidak akan bangun-bangun lagi.

Dalam keadaan begitu, menangis bukan lagi satu kemestian kerana bila kita dalam keadaan paling 'down' pada diri sendiri, kita sebenarnya tidak mampu untuk menangis, yang menangis dan meraung adalah dalam jiwa, tempat yang mana tiada siapa yang boleh nampak, tiada siapa boleh mengerti dan tiada siapa boleh selami.

lalu aku dengan rendah diri mengadu dan merintih padaNYA, meminta penuh tulus.- memohon agar dipertemukan jawaban- mungkin bukan jawaban sebenar tetapi lebih kepada penyelesaian untuk menamatkan satu ikatan, mahuku cuma satu, kalau itu adalah yang terbaik maka aku redha.

Aku tidak berbuat apa-apa selepas itu,langsung tidak berusaha untuk menjernihkan suasana yang kabut kerana hatiku ketika itu redha, pasrah dan rela. Tapi, tiba-tiba dalam bertarung melawan semua perasaan 'down' itu tanpa dipinta, tanpa di duga ada kemaafan yang dihulur, mengakui ke khilafan diri-sendiri lalu memohon untuk dimengertikan. aku terkedu, tidak terkata apa.

Ya, selalunya kita tidak sedar, Tuhan itu sentiasa ada perancangan untuk setiap manusia, malah punya jawaban untuk setiap titik persoalan. Detik hati berkata : mungkin masanya belum tiba kerana masih ada tujuan dan matlamat lain dalam hidup walau bukan untuk aku tapi mungkin untuk kami berdua.

p/s : till then

sedang dalam mood :)

Pagi dua puluh satu april dua ribu dua belas di sebuah rumah kos rendah somewhere in sentul, sedang menikmati dua bungkus nasi kerabu, tiga jenis kuih-muih dan sepinggan roti canai sambil dihiburkan oleh mereka:



bila semuanya bersama Milo ais dan Teh'O terasa begitu enak dan asyik sekali, bila dunia terasa begitu indah dan ringan.

Friday, April 20, 2012

untuk apa

orang tanya aku menulis untuk apa?

aku jawab : aku menulis kerana aku mahu menulis, aku menulis kerana aku bisa menulis, aku menulis kerana remedi hati aku ada dalam tulisan, supaya aku tidak perlu menjaja cerita diri bila lara dan tidak perlu bercakap ketak-ketak bila aku punya pandangan sendiri - biar semuanya hanya pada tulisan.

aku tidak minta sesiapapun bersetuju denganku malah aku tidak bisa memaksa mereka-mereka membaca tulisan aku, siapa yang datang menyapa juga aku biar sepi, kerana aku bercakap hanya untuk diriku berdasarkan kepada pandangan dan perasaanku kerana bukan semua perkara tertulis perlukan jawaban.

cukup sekadar ada yang sudi membaca, aku lega. Bila ada yang menegur sapa, aku terima- baik atau buruk, aku tidak pernah berniat menghina apalagi mencaci bila aku rasa semua manusia itu darjatnya sama dimata Pencipta-Nya - kerdil dan tidak berdaya.

Thursday, April 19, 2012

ambil kesempatan

bila diam, orang selalu ambil kesempatan
bila senyum, orang suka ambil kesempatan
bila bersahaja, orang tetap ambil kesempatan

mungkin mereka lupa - setiap individu itu punya hak personal sendiri
tak perlu untuk diluah, tak perlu untuk dikata

jadi, jangan terus-terusan jadi manusia ignorance, kalau tidak mahu diri sendiri disakiti!

Wednesday, April 18, 2012

Letih

Kalau ikut hati
memang sudah jemu
kalau ikut rasa
sudah lama tepu

Tapi, kerana nyalarasa
aku diam - tidak tahu mahu terus bertahan atau beralah

Mampukah?

Tuesday, April 17, 2012

Berat sebelah.

Kalau hal ilmu agama, aku akui aku memang daif, bab hukum-hakam lagi lah aku buta, selalu kabur-kabur, selalu was-was, selalu serba-salah, cuma mungkin sebab aku rasa aku dah makin berusia(lagi?) dan aku sudah melalui beberapa fasa dugaan dalam hidup, aku mula berfikir macam-macam, dari hal diri sehingga persekitaran, dari kehendak kepada keperluan, dari liberalisasi kepada keagamaan.

dan selain daripada kehidupan perkara paling selalu buat aku berfikir adalah perihal hubungan, kisah hati dan perasaan. Kerana setelah melalui 6 tahun perkahwinan yang ada manis madunya, yang ada goyah berantakannya ,yang ada ribut taufannya, yang ada angin sepoi-sepoinya, aku mula selalu berfikir dan terfikir soal nikah-kahwin, rasanya sepanjang aku berkesempatan mendengar, membaca, menghadiri ceramah ataupun perbualan biasa perihal agama, perkara yang wajib aku dengar ialah,

- Isteri akan nusyuz bila ingkar perintah suami, kalau suami kata jangan keluar rumah tapi isteri keluar juga maka hukumnya haram.

Tapi, bagaimana pula bila suami keluar rumah tanpa persetujuan dan kerelaan hati isteri?  hukumnya?


- Isteri yang menolak untuk melayan suami akan dilaknat oleh malaikat sampai esok pagi.


Tapi, bagaimana pula bila suami mengabaikan tanggungjawabnya dalam melayani nafsu berahi isteri yang juga seorang manusia biasa yang punya kemahuan dan nafsu untuk dilayan dan digauli selayaknya ? hukumnya?


- Isteri bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga dan anak-anak ?


Tapi, bagaimana pula bila suami yang seharusnya menjadi ketua keluarga dan pencari nafkah ialah seorang lelaki yang tidak pernah bertanggungjawab dalam soal nafkah dan tidak pernah menjalankan tugasnya sebagai ketua keluarga malah tanpa malu-malu mengambil hak (gaji) isteri untuk digunakan samada untuk kegunaan sendiri mahupun keluarga, samada dengan atau tanpa kerelaan isteri? hukumnya?


- isteri hendaklah sentiasa menjaga maruah diri, suami dan keluarga malah isteri juga bertanggungjawab menjaga aib suami supaya tidak terbongkar.


Tapi, bagaimana pula bila suami dengan sewenang-wenangnya menjatuhkan maruah isteri dengan mendedahkan aib isteri malah siap hina keturunan dan asal-usul isteri kepada orang sekeliling tidak kira dihadapan keluarga, sanak-saudara, atau sesiapapun? hukumnya?

-Isteri seharusnya menjadi tulang belakang suami dan mendorong suami untuk terus berjaya dalam kehidupan.

Tapi, bagaimana pula bila suami tidak pernah memberi dorongan mahupun motivasi kepada isteri dalam merealisasikan impian dan cita-cita isteri, malah siap cakap isterinya lembab dan bodoh macam lembu? hukumnya?


- Isteri wajib untuk sentiasa memastikan suaminya gembira dan sentiasa bersenang hati dengannya?


Tapi, bagaimana pula bila suami tidak pernah menyenangkan hati isterinya samada dari segi perbuatan ataupun sikap, sentiasa menyakitkan hati dan sentiasa berkasar dengan isteri, toleransi lagilah tidak pernah langsung? hukumnya.

 - Isteri harus tahu/pandai memasak untuk menambat hati suami supaya sentiasa lekat duduk rumah.


Tapi, bagaimana pula bila isteri yang penat-lelah memasak untuk suami lepas isteri balik kerja tapi rupanya suami keluar hu ha hu ha dengan kawan dan hanya balik rumah pada keesokan paginya. hukumnya?

Kenapa kita selalu saja dengar perihal tanggungjawab dan peranan isteri serta hukumnya bila tidak dilaksanakan, sikit-sikit semua burden letak pada satu pihak sahaja, maka ini akan jadi modal untuk satu pihak lagi ambil kesempatan pada yang satu lagi, kenapa tidak ada sesiapapun (bertauliah @ tidak) yang mahu menghuraikan dengan panjang-lebar supaya semuanya lebih jelas untuk kedua-dua pihak, kenapa tidak ada perbincangan mendalam tentang penyebab isteri curang atau isteri kelar anak atau isteri potong 'anu' suami, rasa-rasanya lah dimana peranan suami dalam menyumbang semua kejadian itu?

Ilmu agama ini apalagi perihal hukum-hakam kena faham betul-betul, bukan setakat kena tahu, yang mengajar pun buatlah cara mengajar untuk mencurah ilmu, bukan setakat jadi bahan gurauan untuk gelak-gelak dalam majlis ilmu. Aku benar-benar mahu belajar!

Aku mahu tahu Takdir

Dulu aku tidak kisah sangat, atau memang tak pernah ambil kisah tapi mungkin sebab umur aku yang semakin meningkat naik aku mudah jadi pesimisistik, sebab itu hati aku sentiasa rasa ada keperluan yang kuat untuk mahu tahu ketentuan hidup aku, mahu tahu tentang takdir aku, mahu tahu dengan pasti masa depan perjalanan kehidupan aku sebagai seorang manusia, isteri (buat masa sekarang) dan ibu kepada anak-anak dan bakal anak aku nanti.

Aku juga mahu tahu bagaimanakah perjalanan karier aku, perjalanan aku dan karier aku dalam menempuhi kehidupan mendatang. Dalam tempoh tiga abad kehidupan, aku sudah tempuh pelbagai keadaan, dari semanis-manis kehidupan sampailah kepada sepahit-pahit kehidupan, dari aku rasa berlapang dada sehingga aku rasa sesak nafas sampai rasa nak putus nyawa. Tapi aku percaya pada karma, aku yakin pada kehidupan umpama roda yang sekejap diatas dan sekejap dibawah.

Cuma yang aku pasti aku tidak pernah tahu adalah masa, bila ketika aku berada diatas dan tidak lagi dibawah, bila ketika aku boleh saja tersenyum riang syukur dan tidak lagi berkeluh-kesah macam sekarang, atau bila aku sudah tidak perlu lagi berfikir tentang banyak perkara remeh yang menyesakkan otak dan mengkelam-kabutkan kehidupan aku dan anak-anak aku.

Kalau boleh aku mahu tahu semua turutan masa depan hidupku. Apapun, aku yakin Allah punya rencana terbaik untuk setiap manusia, terpulang kepada diri-sendiri mahu yang bagaimana, kalau kau mahu kehidupan yang lebih baik dan teratur maka kau perlu berusaha kearah itu dan begitu juga sebaliknya, kalau kau rasa kau mahu untuk terus bertahan dengan kehidupan yang serba-serbi menyesakkan kau bertahan dan jangan berbuat apa-apa. sampai mampus!

Tuesday, April 10, 2012

Renungan - Ingatan dan pengajaran utk diri sendiri #3

Saya copy & paste dari wall FB yang makcik jue linkkan ke saya, moga jadi ingatan juga kepada semua :

PERBUALAN SEORANG BAYI SEBELUM KELAHIRANNYA ♥♥
(copy from breastfeeding zone)

Adalah dikisahkan….pada ketika seorang bayi akan dilahirkan ke dunia nyata.

* Bayi itu bertanya kepada Tuhan : “Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah.”

Tuhan menjawab: “Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya.”

* Bayi bertanya lagi: “Tetapi disini, didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia.”

Tuhan menjawab: “Malaikat mu nanti akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia di sana”

* Bayi bertanya lagi: “Bagaimana mungkin saya dapat memahami orang-orang bercakap dengan saya sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara untuk berkata-kata.”

* Bayi bertanya lagi: “Apakah yang boleh saya lakukan ketika saya ingin berbicara kepadaMu?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa dan bermunajat kepadaKu.”

* Bayi bertanya lagi:”Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya nanti?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu lah yang akan melindungimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya.’

* Bayi bertanya lagi: “Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak lagi dapat melihatMu lagi.”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku dan akan mengajarkan bagaimana kamu nanti akan kembali juga kepadaKu, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu.”

Pada saat itu, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran.

* Dan sang bayi bertanya perlahan : “Tuhan, jika saya terpaksa pergi sekarang ini, bolehkah Kamu khabarkan kepadaku nama malaikat yang Kamu maksudkan itu?”

Tuhan menjawab: “Kamu akan memanggil malaikatmu itu sebagai “IBU”. Maka ingatlah, sentiasa kamu berkasih sayang dengannya dan menghargai setiap pengorbanan ibu mu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa. Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat.”

Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak mu yang sedang membesar. Sesungguh nya Syurga itu dibawah telapak kakimu.

Monday, April 9, 2012

Bergelut dengan masa

Saya memang kurang punya masa yang banyak sejak kebelakangan ini, bukan sebab sibuk cari harta kekayaan tapi sebab keadaan diri yang buat saya semakin rasa ribut, memasuki fasa trimester kedua dengan dua orang hero yang semakin membesar, semkin bijak, semakin lasak, semakin ligat malah semakin banyak akal! Ada kala saya merasakan saya perlu 6 pasang tangan untuk handle mereka, itu belum lagi dengan pertanyaan yang semakin lama semakin menghenyak otak, sedangkan dalam pada masa yang sama saya mengusung perut kesana-kemari, pergerakan jadi terbatas dan lambat, sungguh saya amat tidak suka!

Friday, April 6, 2012

Melt my heart to stone..............

Wednesday, April 4, 2012

Emo

Memaksa diri saat minda tidak mampu memerah idea adalah seperti melakukan sesuatu perkara tanpa kerelaan yang kemudian buat kita rasa jengkel dan mual. Maaflah, minda masih lagi berlegar pada kejadian di Sungai Tua - Ulu Yam ahad lepas bersamaan dengan 1 april 2012 @2.30pm.

Kalau pada siapa yang tidak mengalaminya mungkin kurang faham perasaan ketika ditabrak ketika itu cuma situasi menjadi panik dan tegang kerana anak-anak dan anak-anak saudara ada bersama. Syukur semuanya selamat walau calit-calar masih kelihatan, sungguh aku ada sejuta alasan baru untuk terus berterima kasih kepada yang Maha Pencipta atas kuasaNya memelihara keselamatan kami sekeluarga.