Saturday, September 21, 2013

Yang Terang lagi Bersuluh

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur bila Allah beri aku 'minat' yang amat kuat dan tinggi dalam hal membaca, sungguh membaca buat aku benar-benar menjadi diriku dan bila sekiranya aku tidak membaca aku akan rasa seperti aku 'punah' di 'dalam', satu masa dulu aku amat rajin membaca novel, yang mana semua jenis novel melayu atau inggeris aku redah selagi boleh. 

Malang bagi novel melayu, kebanyakan tema ceritanya adalah sama dengan cara penyampaian dan penulisan berbeza, aku jadi muak lalu beralih ke novel inggeris, aku teruja sangat, bukan hanya kerana kepelbagaian tema, jalan cerita dan gaya penceritaan yang sangat menarik tapi sebaliknya aku boleh belajar bahasa itu tinggi setapak daripada apa yang aku mampu setakat ini. Syukur.

Cuma, bila semakin meningakt usia dengan tanggungjawab yang semakin bertambah, aku akui ruang membaca untukku jadi sangat sedikit, sangat tidak ter'curi' masa yang ada untuk mencapai sebuah buku dan menghabiskan satu mukasurat pun. Masa yang aku ada memang tiada belas kasihan, aku bergelut dengan masa di setiap minit yang aku ada, kadang-kadang tidak terbendung dan aku kalah. 

Tapi kerana aku menganggap setiap langkah perjalanan hidupku itu adalah 'pergelutan', aku sentiasa 'berjuang' memberi ruang, masa dan waktu untuk diriku sendiri - sekurang-kurangnya membaca buat aku rasa aku punya dunia aku sendiri - tanpa anak-anak, tanpa sahabat-sahabat, tanpa orang sekeliling, tanpa siapa-siapa- hanya aku dan cerita dalam satu buku. Aku berhibur dengan caraku sendiri. 

Sampai satu tahap, aku merasakan bahawa aku perlu membaca untuk mengisi 'ruang' kosong dalam dada, yang aku tidak tahu apa dan bagaimana untuk memenuhinya, yang bila aku baca sesuatu buku, itu perkataan nya bukan sahaja kekal dalam hatiku tapi mampu memberi impak besar  kepada seluruh jiwa, tenaga dan diriku sebagai seorang manusia. Sangat susah untuk aku jumpa sesuatu yang seperti ini dalam mana-mana pembacaanku selama ini. Aku tersentuh tapi tidak pernah sampai memberi kesan mendalam dalam diri, pendek kata, macam kita tengok wayang, dalam satu-satu masa itu kita seronok dan kagum tapi sampai satu masa itu kita lupa dan hilang. Perlu tengok kembali untuk 'refresh' dan begitulah seterusnya.

Ketika aku dalam keadaan mencari-cari itu aku terpandang tafsir Al-Quran atas meja seorang rakan, tanpa niat aku belek buku itu (seperti selalu) dan membaca mana-mana perkataan yang kebetulan 'caught by my eyes', aku terpaku sebaik sahaja sampai pada satu ayat yang mana terjemahannya sangat memberi kesan, runtun hatiku dengannya. Dan sejak itu aku kekal, masih meneruskan pembacaan pada tafsir yang akhirnya diberi sebagai hadiah oleh si rakan tadi, dan buku itu aku usung pergi-balik ketempat kerja, kerana hanya disitulah luang masa yang aku ada, sepanjang berada di dalam bas.

Hingga ke saat ini, aku hampir saja menghabiskan Surah Al-Israak, Juzuk 15. Setakat ini, tidak pernah lagi aku rasa bosan malah dengan inilah aku dapat merasa pelbagai perasaan yang ada, gerun, takut, kagum tidak terhingga, kerdil , syukur, beristiqamah, bangga, seronok, dan bermacam lagi perasaan yang tidak mampu ditulis dengan perkataan, kalau lah boleh dibayangkan perasaan seorang yang bila dia terlalu puas pada satu perkara, dia akan tarik satu nafas panjang yang bila dilepaskan berserta dengan air mata dan senyuman gembira bercampur terharu. Itulah apa yang aku rasa sekarang.


Alhamdulillah, disuluhkan padaku satu jalan terang dalam pada aku tercari-cari dalaman diriku sendiri, aku diberi jalan berjumpa dengan apa yang aku mahu dan yang sepatutnya aku baca, untuk mengisi diriku sebagai manusia yang adalah Hamba kepadaNya. Mungkin setakat Juzuk 15 aku masih lagi bertatih, tapi aku tidak risau dan tidak kisah. Selagi ilmu itu disitu, maka distu jugalah aku akan mengautnya,


Antara ayat yang mula-mula sekali buat aku berdetak :

(Al-A'araf 7:128)

Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".



Semoga segalanya belum terlambat untukku.

Syukur.










No comments: