Ada satu ketika hati aku sangatlah gundah gulana aku terasa nak bercakap dengan bapa aku. Sebenarnya kalau hal yang kurang menyenangkan hati aku biasa akan call kakak atau adik atau seperti kebiasaan kawan-kawan rapat untuk meringankan rasa tapi entah kenapa kali itu aku memang tak boleh fikir nak cari orang lain selain bapa aku.
Masa aku call tu bapa aku baru lepas solat maghrib, suara dia macam biasa tenang sambil tanya khabar. Kami borak-borak macam biasa, macam borak anak-bapa bercerita perkara-perkara biasa. Tapi naluri seorang ayah nyata lebih kuat mengatasi kecanggihan panggilan telefon kami yang melangkau benua.
Bila bapa aku tanya kenapa? Aku masih cuba berselindung dengan menjawab tiada apa, aku kira suara yang dibuat- buat gembira itu mampu untuk mengaburi pendengaran bapa aku. Kemudian tanpa di sangka- sangka bapa aku cakap begini (lebih kurang).
" biasalah tu kalau dah kahwin. Yang sikit-sikit terasa tu kamu beralahlah. Kamu tu isteri. Biarpun kamu tu anak perempuan bapa tapi sekarang ni kamu tu hak suami kamu...."
Tak semena-mena air mata aku mengalir macam air paip. Beginilah rupanya kita. Dari dalam kandungan sampai lah besar panjang kita jadi manusia dengan gelaran ANAK tup-tup dengan senafas lafaz aku terima nikahnya....saat itu gugurlah hak ibu-bapa kita terhadap anaknya. Betapa semudah itu sahaja.
Hanya sebaris ayat dari seorang lelaki yang bukan sesiapa tapi datang dan berjanji untuk menjaga kita sebagai amanah sampai mati yang kemudian saat itu juga hampir semua hak mak-bapa kepada anak hilang begitu saja. Aku jadi teramat sayu.
Aku baru berkira-kira nak jawab kata-kata bapa aku bila azan maghrib berkumandang. Terus bapa aku cakap " sudahlah tu, kamu pegi solat dulu. Minta doa supaya hati tu tenang selalu. Kalau nak bapa dengar kamu boleh talifon bapa bila-bila masa saja, tapi kalau nak balik sini (rumah bapa) mesti minta izin dulu dari suami kamu".
Aku angguk-angguk sambil teresak-esak. Dan usai azan maghrib aku segerakan solat. Dalam hati aku tekad minta agar hati aku tenang selalu macam bapa aku cakap tadi.
Dan saat aku angkat takbir menyebut "Allahu akhbar...." aku teresak lagi. Lirih.
No comments:
Post a Comment