Thursday, December 20, 2012

nikmatnya pencarian ini





Ajaibnya rasa nikmat ini
ketika aku memulakan pencarian, aku sangka aku sudah ketemu tapi bila mula melaluinya baru kusedar
rupanya pencarian ini baru bermula, malah belumpun sampai sebelah kaki yang melangkah.

Ada saat aku rasa seperti beban, ikut hati rasa macam mahu berhenti kerana kadang-kadang apa yang ada di belakang itu nampak sentiasa menarik hingga hati seakan kembali tertarik.

Hati, kalau tidak kuat pasti sudah jauh hanyut, jiwa kalau tidak teguh sudah lama terapung
tapi kerana diri tidak bijak menguak renang, lalu mencari tempat untuk berpaut
bila sampai kaki benar-benar sudah gagah mengayuh dan tangan sudah mampu menguak
biarlah dilepaskan sekalipun
pasti diri sudah kuat meredah badai.
dipukul badai besar juga tidak bisa lemas.

Sebab itulah pencarian masih tetap diteruskan
kerana aku tidak mahu terus lemas dan terkapai-kapai. Kala dipukul ombak badai terus pecah berderai.
biar sampai diri benar-benar teguh dan kukuh. Datanglah taufan gila sekalipun diri terus kuat bertahan.

walau perjalanan ini baru bermula malah masih terlalu awal untuk aku menilai diri
tapi ku mohon biarlah aku terus cekal. Rugi rasanya jika aku mengalah terlalu awal.

betapa tak terungkap nikmat pencarian jiwa ini. Indahnya jiwa bagai rasa dibelai halus
bila ku redha dan berserah segalaNya.
yang ku mohon agar biarlah hati dan jiwa ini terus tetap mencari, jangan berhenti dan putus asa.
biarlah aku terus teguh mencari kerana tidak puas rasanya merasa nikmat pencarian yang baru sekejap ini.

Wednesday, December 19, 2012

patutlah, kata orang kita.

Selalu tak dengar kalau ada apa-apa benda baik /buruk (selalunya buruk) berlaku mesti akan ada orang-orang sekeliling akan cakap macam konon-konon dia dah tahu tentang sesuatu akan berlaku sebelum ianya berlaku. tak faham eh?

ok, la contohnya macam ni.

A : semalam ibu si Polan meninggal jam 5.30 pagi.

B: inalillah. patutlah semalam aku rasa macam tak kena je tiap kali pandang muka si polan rupanya tanda mak dia dah nak 'pergi'.

contoh 2

C : patutlah minggu lepas aku jatuh 5 anak tangga sampai patah ibu jari kaki sebab tiga hari sebelum tu aku mimpi jatuh motorsikal sampai 5 kali.

contoh 3

D : patutlah, perasan tak 3 minggu lepas en.polan tu asyik nak melawa je, hari-hari pakai baju baru rupanya hari ni dia kemalangan terus meninggal.inalillah.


Memang selalu sangat kita dengar istilah 'patutlah' ni, even dalam TV pun kalau ada kes-kes kemalangan/lemas atau sebagainya mesti akan ada slot wartawan interview ahli keluarga yang sambil nangis-nangis tu cakap 'patutlah dia beria-ria nak makan masak lemak yang makcik masak rupanya itu tanda dia nak tinggalkan makcik'. Itu belum lagi yang jadi muka depan suratkabar harian metro hari-hari, pelik juga sebab part ni jugalah yang orang paling suka nak baca dan ambik tahu sangat. baru gempak nak sok-sek-sok sek dengan kawan sekepala kot .

Tidak kiralah samada kebetulan mahupun tidak, semua yang berlaku adalah urusan Yang Maha Kuasa. Sedar atau tidak perkara yang bakal berlaku 5 minit akan datang tiada siapa yang tahu malah tidak mampu teka, kalau kata 'instinct' tu mungkin aku boleh terima tapi mengaitkan apa yang berlaku dengan sesuatu yang dia sendiri tak tahu akan berlaku adalah sesuatu yang buat orang itu nampak seolah-olah dialah penentu sesuatu kejadian.

Susah sangat ke menerima setiap sesuatu kejadian itu bila segala-galanya samada tersurat atau tersirat semuanya adalah di tangan Allah yang Esa, yang mentadbir sekelian alam. Tidak perlulah nak 'patutlah' sangat berlagak macam lebih tahu dari Tuhan. Itu semua kerja Tuhan.Takdir.

Monday, December 17, 2012

bila kita terima sesuatu itu seadanya

mahu mengaku tapi rasa malu
tapi besar kebenarannya disitu
kita kan manusia yang selalu alpa
malah selalu lupa walau selebihnya pura-pura tidak ingat

bila sakit baru mahu terasa
bila kena baru mahu terngadah
bila terhantuk baru mahu terjaga
sedang selama ini semuanya benda depan mata

tapi, lain rasanya bila kita terima segala yang berlaku itu seadanya
bila kita serahkan segala jiwa raga hanya kepadaNya
sepenuh hati tanpa prejudis tiada kompromi

baru kita sedar dunia ini enteng sahaja, tiada taranya dengan kuasa sang Pencipta
kerana dia itu Maha Mengetahui, Maha Mengasihi, Maha Segala Cakerawala.

Terima kasih ketenangan dan kedamaian yang kucari selama ini.

p/s : Semoga hatiku mampu untuk teruskan apa yang aku baru mulai ini. Amin.

Thursday, December 13, 2012

Driver Taxi KL memang kurang ajar walaupun bukan semua.

sumber : sozcyili & sini

Friday, November 30, 2012

Are you happy...enough?



Found it on FB which is some good thing to think and decide.

Wednesday, November 28, 2012

Jangan fikir tiada nilai kepercayaan seseorang pada kamu


Aku kira sebagai hamba Allah yang kerdil ini adalah antara kelemahan aku yang paling besar. Aku ni jenis manusia yang kalau sudah percaya pada seseorang, aku akan letakkan 200% nilai kepercayaan aku pada dia tanpa ragu hatta, kalau dia buat palat sekalipun kalau bukan dengan aku, aku masih lagi mampu untuk yakin pada dia.

Masalahnya, aku juga ialah bangsa manusia yang bila sekali aku tak percaya pada orang tu, aku memang tidak akan percaya sampai bila-bila, cakaplah apa pun, buatlah apa pun, jadilah apa pun, kalau memang aku tak percaya, sungguh muntah darah-kencing nanah sekalipun belum tentu aku boleh buat aku percayakan dia untuk kali kedua, kerana setakat tiga dekad aku hidup memang belum pernah lagi ada siapa-siapa yang mampu buat aku percaya balik pada dia untuk kali kedua selepas buat hal.

Memang nampak keterlaluan, tapi berbaloilah dengan nilai kepercayaan yang kau sendiri khianati, nak percaya seseorang memang bukan mudah, bila orang dah letak kepercayaan 100% boleh pula kau buat hal, benda dah jadi, padan dengan muka, kau terima sajalah padahnya.

Saturday, November 17, 2012

kuasa kata-kata memang hebat

Mungkin sebab aku selalu dapat sokongan melalui kata-kata yang positif, sedap didengar dan menggembirakan hati maka aku kurang peduli pada kuasa kata-kata, siapa sangka bahawa kata-kata itu mampu untuk mengubah banyak perkara dalam hidup manusia.

Kuasa kata-kata itu besar, sangat powerful,  kalau dalam keadaan sedih, jiwa tengah kacau lalu datang somebody yang bagi kata-kata positif, bagi semangat, tiba-tiba, time tu juga diri rasa kuat, rasa berani dan lepas tu sanggup dan bertahan bila diuji macam-macam perkara, automatik wujud 'inner strength' dalam diri.

Malahan orang yang tengah koma sekalipun kalau hari-hari dia dengar kata-kata memberi semangat untuk terus kuat, inshaAllah boleh sedar balik, memang itu kuasa Allah tapi itu juga adalah kekuatan jiwa orang yang selalu di beri kata-kata semangat oleh orang-orang terdekat di sekelilingnya.

Apa yang aku kurang ambil perhatian selama ini (aku kira ramai juga yang sama macam aku), bila kata-kata itu jadi senjata untuk menyakiti seseorang, kata-kata yang memperlekehkan dan buat orang rasa sangat rendah diri sehingga hilang keyakinan diri, yang ini mungkin tidak kelihatan pada mata kasar tapi kuasa kata-kata itu amat kuat hingga mampu menyakiti diri seseorang sehingga orang itu 'luka-parah', masalahnya 'luka' seseorang yang disakiti dengan kata-kata itu tidak kelihatan dengan mata kasar biar dalamannya sudah robek sana-sini. Dan kalau nak tahu kesakitan yang sebeginilah yang selalu buat orang bertindak luar batas. Terlalu sakit sampai tidak terbendung.

aku sebenarnya tak tahu nak hurai banyak-banyak, point aku ialah, dalam hidup ini biasakanlah diri kita untuk selalu bercakap perkara-perkara baik yang sedap didengar samada untuk diri sendiri orang lain apatah lagi jangan selalu sangat keluarkan kata-kata kesat yang menyakitkan hati.

Hati manusia ni lain-lain ada yang bila dimaki-hamun, di sumpah-seranah dia boleh buat masuk telinga kanan keluar telinga kiri tapi ada juga yang sebaliknya dia boleh simpan dalam hati, peram lama-lama, esok meletup habis semua kena, nanti keluar news cerita si polan dikelar sampai putus anak tekak, tak pun tetak sampai lumat tak tinggal sikit pun. kan sadis.

Akhir kata, latihlah diri, ajarlah jiwa dan biasakan mulut untuk selalu berkata perkara baik-baik, mengucapkan kata yang baik-baik biar yang mendengar pun hati senang gembira, yang berkata pun boleh pahala juga.

  

Sunday, November 11, 2012

reminder untuk aku


Kisah cinta selalu buat kita alpa, berfikir bahawa cinta itu adalah segalanya dalam kehidupan, kita seringkali lupa bahawa akan ada sentiasa perkara luar jangka yang datang mencelah, mungkin ujian dari Tuhan dan mungkin juga ujian kepada perasaan dan kesetiaan. Kadang-kadang apa yang berlaku amatlah diluar jangkaan sungguh jauh tersasar dari apa yang dibayangkan selama ini.

Itu lumrah, kerana hati manusia tidak pernah adanya tetap, sentiasa goyah dan tidak keruan. Jadi janganlah terlalu angkuh bila bercerita soal hati dan jangan juga terlalu yakin bahawa bahagia yang kita kecapi sekarang ini akan kekal sampai bila-bila, mungkin hari ini kehidupan kita benar-benar bahagia umpama syurgawi tapi tiada siapa mampu menjangka apa bakal terjadi esok hari, prinsip kehidupan itu macam roda,ada turun dan ada naik, sekejap diatas kemudian sekejap lagi di bawah. Itu kuasa takdir.

Terima hakikat bahawa manusia itu boleh berubah, mampu berubah dan akan berubah-tidak banyak pun mesti akan ada sikit yang berubah. Jadi janganlah tegar sangat bercakap perihal bahagia sana-sini, percayalah selagi belum kena, kita tidak akan rasa, esok kena ke kita baru faham rasa itu macamana.

jadi daripada mahu menunjuk-nunjuk lebih baik kita bersyukur dengan apa yang kita ada setakat ini dan moga-moga apa yang indah itu akan berkekalan sampai mati. InshaAllah.






Thursday, November 8, 2012

saat, terukir di bintang

jika dalam situasi sedang berbahagia, bait lagu ini pasti jadi sandaran hati bagi meluahkan rasa cinta yang tak terungkap dengan kata mahupun tulis, terlalu mendalam. Namun, adakah perasaan masih lagi sama jika sebaliknya? saat jiwa berkecamuk, hati pecah berderai, kasih hancur luluh, cinta sepahit hempedu....? perasaan apakah ini?

Wednesday, November 7, 2012

Harapan baru

Hampir dua bulan aku duduk kampung dengan anak-anak yang 3 orang. Anak-anak (dhani & a'el) memang seronok gila balik kampung sebab jumpa banyak benda baru, anjing,ayam,itik,lembu,kucing,burung semuanya menarik perhatian,malah sesi mengejar ayam itik seakan jadi rutin pagi rafael.

Balik KL, aku expect anak-anak mesti akan rindukan kampung, tapi nak tak nak terpaksalah tunggu lagi setahun baru dapat balik.

Aku pula, walau tak banyak tapi aku masih mahu meletak harapan baru. Sebelum ini life aku agak messy dengan macam-macam isu dalaman yang agak peribadi. Sampai satu tahap aku menyerah kalah dan berputus asa, mungkin kali ini walau tidak banyak tapi aku mengharap agar hidup aku lepas ini akan lebih tenang dan tenteram. Agar aku jadi lebih sabar untuk anak-anak dan lebih tabah untuk diri-sendiri juga lebih kuat untuk terus bertahan.

Walau mungkin aku masih dalam proses belajar  menerima untuk lebih redha tapi kali ini aku akan berusaha untuk 3 perkara : sabar,tabah,kuat bukan semata-mata untuk aku tapi demi anak-anak dan masa depan aku juga.

Semoga redha Allah sentiasa bersama aku selalu.Amin.

Thursday, September 13, 2012

Nostalgia


Ashghabriel tidur lama sikit hari ni, selalunya letak je dia jaga,aku pun ambil peluang selak almari buku dalam bilik tiba-tiba terjumpa buku yang aku jadikan diari / jurnal. Yang ini around tahun 2001/02.

Kisah tentang  aku, jiwa, perasaan,cinta,rindu,gembira,kecewa,bangga,hilang semangat..pendek  kata segalanya tentang laughs and tears seorang dida.

Baru aku sedar kenapa selama ini aku kurang punya kawan berkongsi rasa dan lara sebab segala-galanya aku tulis dalam buku.

jangan mimpilah nak baca sebab aku ada tulisan rahsia aku  sendiri. ;-)

p/s :buku ni makcik jue (antara kawan terbaik yg aku ada) yang bagi siap ada tanda harga lagi rm 0.50 kat labuan supermarket.




Friday, September 7, 2012

Sketsa (3): Fasa terburuk

Di sebuah kedai mamak 24 jam yang sedang sibuk, sambil menghirup teh tarik kaw air tangan bhai macha,amir mengadu kepada kawan baiknya.

"I was in my worst phase of my marriage"

Sahabat baiknya hanya terdiam, memandang muka polos amir dengan seribu rasa simpati.

"she's the worst wife..dia tak ligat, tak membantu aku langsung dalam soal financial yang dia tau asyik tekan aku je.."

"eh! bukan wife kau kerja ke?"

"ye lah..tapi takat gaji dia tu apalah sangat"

Sahabat baiknya mula hairan.

"jadi kau nak apa dari dia sebenarnya?"

Tiba-tiba Blackberry amir berlagu-dering, cepat-cepat diangkat dengan wajah penuh ceria amir mula menaip laju membalas sms yang baru diterima.Sambil bersiul-siul gembira amir memandang wajah sahabat baiknya itu.

"sms dyg..ex-awek aku" berkata si amir dengan penuh bangga.

Dalam diam, sahabat baiknya seakan faham, rupanya hati kawannya kini sedang mekar, kerana pengirim sms sebentar tadi bukan sahaja ex tapi berharta juga.

Patutlah!!!

Thursday, September 6, 2012

Hati tidak bisa bohong

mungkin kerana jiwa sudah lama tercalar,
lalu hati jadi tawar, rasa juga sudah jadi nanar
hingga sayang terus jadi pudar

kala jarak jadi pemisah, dan bila diri hanya berteman buah-buah cinta yang ceria
jujur, hati seakan redha, rela terus sendiri

biarlah.

kalau benar begitu jalannya.

terimalah.

sungguh, hati memang tidak pernah bisa bohong.
hatta, sekadar berbisik tanpa meluah juga ia tidak pernah mungkir.





Wednesday, August 29, 2012

Sketsa (2) : bila pilihan hati kini serba-serbi tak kena

Mula-mula dulu, si dia kelihatan amatlah sempurna di mata, setiap inci yang ada pada dirinya bagaikan terlalu istimewa susah sangat nak cari cacat celanya, payah benar mahu melihat ralat balatnya, kerana walau dicari di setiap pelusuk diri pun memang tidak akan berjumpa.Pendek kata, dia adalah sesempurna ciptaan Tuhan.

Saat mula bersama, dunia berdua bagaikan kayangan, dia bidadarinya dan kamu dewanya dan jika ketika itu ada yang meminta nyawa kamu sebagai taruhan si bidadari, kamu sanggup malah rela bermatian demi untuknya.

Beberapa purnama berlalu, rasa yang menggebu itu hilang tiba-tiba, tiada lagi si bidadari dan sang dewanya, yang ada hanya kau dan aku, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan yang hidungnya penyek, dahinya jendul, rambutnya nipis, telinganya capang malahan jarinya juga pendek-pendek belaka. Dia mula resah, hati mula bertanya diri, kenapa dulu dia memilih perempuan ini sebagai peneman jiwanya? kenapa dia tidak melihat segalanya yang 'tidak kena' pada perempuan yang kini menjadi teman tidurnya.

Dia tidak keruan, kerana hatinya sudah tidak lekat pada si perempuan yang pernah menjadi bidadarinya satu masa dulu, hatinya kini tidak pada perempuan bidadari itu kerana hatinya semakin hanyut pada seorang yang lain, seorang yang kini nampaknya lebih sempurna serba-serbi walau pertemuan mereka hanya dalam facebook.

Adakah cintanya sudah pudar sama -sekali?

Wednesday, August 22, 2012

syahdu lebaran

Seperti yang sedia maklum, tahun ini aku beraya dengan kain batik, stokin dan T-Shirt, tiada biskut raya, tiada baju raya malah tidak ada sedikitpun suasana raya di rumah yang memeriahkan aku hanyalah tangisan hua hua hua budak kecik yang baru berapa hari kenal dunia.

Kali ini juga aku ambil keputusan untuk 'bersendirian' lepas bersalin, kerana selain dari keluarga yang jauh nun di keningau, mak mentua aku juga sibuk buat preparation raya sambil-sambil menunggu untuk menyambut cucu dari adik ipar aku di kampung, jadi aku yang melaluinya kali ketiga rasanya setakat jaga diri sendiri tu mampu lah kot.

Entah kenapa, pagi raya tahun ini aku tiba-tiba terkenang arwah ibu, rasa rindu yang mendalam menyerbu tiba-tiba, dalam tak sedar air mata bergenang dan ingatan terhadapanya berlangsung sehingga ke hari ini. Adakah kerana jiwa keibuan ini buat aku terkenangkan arwah ibu?

Apapun, semoga damai dan tenanglah ibu di sana. Amin.

Monday, August 20, 2012

jurnal Ash (2)

Alhamdulillah, jurnal 13812 dipermudahkan olehNya, tapi azab contraction tetap saja sama yang berbeza hanyalah tempoh masa mengharunginya, tepat jam 9:04am bayi lelaki ini menjengah dunia, menghirup udara pertama di muka bumi Allah, apapun Ash ke-3 telah pun balik ke rumah dan tengah berhari raya dalam confinement  yang bukan confinement sebenarnya.

Mood : mahu cepat sembuh!

Monday, August 13, 2012

jurnal Ash (1)

kurang dari sejam lepas aku dah turun darah, sekarang tengah mengisi perut untuk tenaga, sekali-sekala terasa menyengat di pinggang dan bawah perut, sikit-sikit sudah terasa azabnya nanti.

epada keluarga, kawan-kawan dan sanak-saudara, mohon halal makan minum dan ampun kalau ada terasa hati.

Semoga dipermudahkan segalanya. Doakan untuk saya dan anak ini.

Sunday, August 12, 2012

Terkilan

Malas nak tulis banyak, aku dah overdue lalu aku jadi makin runsing dan tidak senang hati, celah kangkang sudah rasa amat perit tiap kali melangkah, kerana sakit kadang-kadang dalam terkangang-kangkang tu air mata aku keluar. sabar.

Ada pula orang kata ini bukan pengalaman pertama jadi tak perlulah aku duk bercerita bagai dalam blog, alahai lah manusia, aku ada 2 anak jantan yang tengah lasak, siapa yang pernah jumpa anak sulung aku pasti tahu yang anak aku tu jenis hyperaktif, tak duduk diam. malah segala urusan anak-anak aku buat, selagi aku boleh buat, urusan ruamhtangga apatahlagi, pun takat yang aku mampu buat.

kalau timbang-timbang, aku memang agak kecewa dengan progress aku kali ini, ikut rutin aku mengaku aku agak lasak, berjalan kaki naik tren pergi-balik kerja dari masjid jamek ke dataran setiap hari seawal 6.30pagi, balik rumah around jam 7 mlm, terus masuk dapur, kalau laki ada hal kena aku pula jalan kaki ambik budak dua orang ni di taska, kena uruskan dua orang budak dari sampailah diorang tidur. anak pula dah sekolah dan yang sorang ke taska nak kena siap barang apa yang patut, membasuh, menyidai, mengemas, menyapu tu semua confirm dalam tangan, semua kena buat sendiri, nak harap siapa pun?

Bukan pasal ada pengalaman atau tidak, cuma semakin banyak tanggungjawab semakin besarlah peranan aku sebagai ibu, nak banding dengan anak seorang memang tak akan sama dengan anak dua orang dan seterusnya, nak banding mengandung sulung, memang tidak sama peelnya dengan mengandung anak kedua dan seterusnya, nak banding tenaga dan kemampuan masa bawa perut anak sulung, memang tak samalah dengan tenaga dan effort bawa perut kali seterusnya, ya lah umur pun dah meningkat kan?

nak tahu juga? tunggulah, akan sampai juga masanya nanti, kalau tak rasa juga maka bersyukurlah seadanya.




Monday, August 6, 2012

Sketsa (1) : sang mantan yang kembali memikat hati

Dayang adalah seorang career woman, mewarisi perniagaan dari keluarga yang kaya-raya, kerana dia lady boss, dia hanya bekerja dari rumah walaupun punya pejabat, punya dua orang anak yang diasuh oleh bibik, dek kerana kesibukannya sebagai businesswoman.

Satu hari, sewaktu sedang sibuk berniaga dari rumah, sambil-sambil on facebook tiba-tiba dia disapa oleh sang mantan yang dikenali ketika zaman universiti dulu, sebetulnya dayang juga sudah lama terfikir mahu bersembang dengan mantannya yang ini tapi dia segan, hari ini,bagai pucuk dicita ulam mendatang, maka dia pun membalas dengan hati penuh terbuka.

Dari sehari ke sehari, perbualan yang mulanya hanya bertanya khabar mula menjadi berat.

sang mantan : hi syg! ehh..salah, dyg la..jgn marah ye..hehehe


dyg : hi darling..eh! salah jg...pn jgn mrh ye..:)


sang mantan : buat apa tu?


dyg : buat kerja, maklumlah org bisnes

sang mantan : kuatnya awk bekerja, impress i  dgn u ni tau


dyg : ala biasa2 jew, awk pn sama jg kn


sang mantan : tiba2 pula i teringat kisah kita dulu2

dyg :eh! u ingat lg ke?


sang mantan: every minutes, every moment.......:)

Saat itu hati dayang bagai dibuai-buai, seperti ada rama-rama sedang berterbangan dalam jiwa, jantungnya berdegup-degup, sungguh sang mantan yang ini benar-benar memikat hati, menyemarakkan kenangan lama, dia mula terbayang saat-saat mereka bersama dahulu.

Namun, dayang mahupun sang mantan lupa bahawa mereka masing-masing sudah berkeluarga, masing-masing sudah punya anak, malah masing-masing sudah punya kehidupan dan tanggungjawab sendiri.

melayan perasaan lama, wajarkah perbualan itu diteruskan?

Sunday, August 5, 2012

Ralat hati

Aku tak sangka tulisan aku tentang apa yang aku rasa , rupanya telah membawa satu impak besar dalam hidup aku sekaligus men'define'kan makna dalam satu perhubungan, agak terkejut, sebab aku tidaklah menyangka ia akan jadi hebat sebegitu, mula-mula aku tak faham juga tapi bila fikir balik apa yang telah terlepas cakap, oohhh...rupa-rupanya inilah dia-tulisan aku tu. Mungkin aku tersilap sampai, mungkin juga bahasa yang aku tulis buat orang tersilap tafsir, tapi sebab aku yang tulis jadi aku telan sahajalah.

Sebenarnya, selain dari rasa yang tiada siapa patut bercakap tentang keburukan mahupun keturunan pihak lain, apa yang aku mahu orang faham ialah perempuan ini ada sisi jiwa yang cukup sentimental dalam diri, waima untuk perkara bodoh-bodoh dan remeh-temeh sekalipun. kadang-kadang bila perempuan tidak didengari maka dia mahu difahami terutamanya oleh orang terdekat, jadi bila dia mahu bercakap tapi tidak didengari dan kemudian bila dia berkata tapi tidak difahami jiwa akan rasa kosong dan sesak. Itu sebab ada ketika jiwa perempuan boleh jadi terlalu rapuh, air mata mudah saja mengalir, pantang silap sikit dia merajuk, muncung panjang.

Kadang-kadang ambil masa, pulihlah sendiri,  kadang-kadang perlu sedikit belaian dan perhatian baru sembuh, nampak macam mengada-ngada tapi itulah kebenaranya jiwa perempuan ini. Ada masa kita yang perempuan ini malas nak layan sangat rasa blues yang menyerbu tiba-tiba, nak-nak bila dah rasa umur makin meningkat tapi ada ketika kita tidak mampu mengawal perasaan itu, mungkin juga faktor hormon, itu tidak dinafikan.

Kali ini, aku menulis bukan semata-mata mahukan simpati atau minta pengertian (after said and will be done), cuma inilah yang aku maksudkan dengan hati perempuan yang selalu ralat, jadi bila orang tak nak layankan perasaan yang begitu, perempuan itu, yakni aku, cari alternatif untuk meluahkan apa yang aku rasa, dan blog ini jadi saksi, maklumlah bila selalu sangat rasa kosong ada hari-harinya kita mahu hati diisi biar sekadar dengan satu sentuhan atau senyuman.
Terpulanglah.

Saturday, August 4, 2012

tidak berkenan sungguh......

Antara benda aku paling tidak berkenan dalam hidup ialah bila seseorang yang dalam keadaan marah dan tidak puas hati dia akan ungkit perihal keluarga dan keturunan pihak lagi satu. Kalau kena kat aku, gerenti aku naik hantu. Bab ungkit-mengungkit hal keluarga ni memang pantang aku sangat-sangat dengan seluruh darah dalam badan aku pantangkan!

Ramai sebenarnya manusia bersifat begini di sekeliling kita, rasa tak puas hati sikit dengan orang tu, mulalah dari keturunan moyang-nyang,datuk-nenek,mak-bapak dia ungkit, konon-konon asal dari keturunan yang tak baik, dari akar yang tak sempurna, darah kotor dan bawa sial, yang dia punya bahagian semua bagus, keturunan baik-baik, orang bangsawan, dihormati, dipandang tinggi dan mulia.

Gila apa kau fikir begitu? ingat dengan nilai keturunan itu boleh jamin tiket kau terus ke firdausi ke? kalau memang betul kau tu memang keturunan baik-baik jangankan nak menyebut perihal status keturunan orang lain, terlintas dalam fikiran untuk mengutuk asal-usul orang tu pun tidak ada, sebenarnya. Jadi bila ada 'anasir jahat' sebegitu muncul dalam minda itu tandanya kau pun tidaklah sehebat sepertimana apa yang engkau gembar-gemburkan dengan level keturunan kau tu.

sebetulnya, ukuran manusia bukanlah semata-mata pada status keturunan darah-daging sahaja, manusia dinilai dari sekepal daging dalam badan yang dipanggil 'hati' untuk kita lihat dan ukur sejauh mana bersih atau tidak bersihnya daging yang hanya sekepal itu. Bukan tidak ada kisah orang yang asal-usulnya dari entah mana-mana tapi jadi manusia yang betul-betul elok  budi-pekertinya, malahan bukan juga tiada cerita orang yang darah-daging 7 keturunan terbaik boleh jadi macam sampah yang tiada nilai langsung.

Hidup ini Tuhan dah tentukan macamana, cuma selok-beloknya kita yang manusia ni kena reka ikut rentak sendiri, jadi kalau kau fikir dengan keturunan 'bajet hebat' adalah sandaran untuk kau jadi hamba terbaik di mata Allah, maka kau salah! nak jadi yang terbaik, seharusnya dalam dan luar kau kena pastikan betul-betul bagus, kalau rasa-rasa belum cukup bagus lagi, then try again.

Tuhan tidak pernah lupa pada hamba yang sentiasa ingat padanya.

p/s :Pelacur yang bagi minum anjing pun Tuhan bagi tempat di syurga tanpa kira darah dan akar perempuan tu pun.

rasa kesian


itulah yang aku rasa pada anak aku rafael, bulan ni dia dah masuk 2 tahun 5 bulan, berjalan seawal 10 bulan tapi bercakap masih terlalu pelat lagi,  mana tidak perut dia sebut 'teput', mandi dia sebut 'tati', nasi dia sebut 'taci', sama-sama dia sebut 'pama-pama' nasib baik dia dah pandai sebut perkataan dengan huruf 'm', kalau tak, dulu mami dia panggil 'papi', punya dia sebut 'pupi'.

memang kasihan, nak-nak lagi masa aku tengah sarat tunggu hari ni, aku mula terbayang-bayang orang yang bakal jaga dia sementara aku duduk ward nanti tak faham apa yang dia nak, paling aku sedih kalau dia lapar mintak nasi atau susu tapi orang tak faham dan mungkin tak ambil peduli. sedihnya hati.

Dahlah aku sekarang cepat sangat rasa runsing dengan macam-macam hal remeh-temeh, tambah-tambah lagi dengan rasa kasihan pada rafael aku rasa macam nak bawa je dia tidur sekali dengan aku dalam ward, kalau dengan dhani aku kurang sikit sebab dhani tidak ada masalah untuk minta itu ini, dia pun dah 4 tahun 8 bulan, cuma nak kena tolong cebok punggung je lah, yang lain-lain, insyallah dia dah boleh buat sendiri.

Bila dalam keadaan macam sekarang ni, kadang-kadang terbit rasa menyesal dalam hati, menyesal kerana aku telah membebankan rafael dengan kehadiran adiknya, tapi bila fikir yang dalam rahim ini pun darah daging yang mahukan kasih-sayang dan kehidupan, aku buang jauh-jauh rasa sesal itu.

Insyallah, tidak kira Dhani mahupun Rafael, malah buah cinta yang ada dalam rahim aku sekarang ni sekalipun, kasih-sayang tidak berbelah bagi pasti akan aku curahkan, bertarunglah dengan nilai nyawa sekalipun aku sanggup demi untuk mereka bertiga.

Thursday, August 2, 2012

Emosi

Saya sudah berada di minggu terakhir, rasa makin dekat, makin sarat, makin sarat, makin berat.  perasaan pun sudah macam-macam, selain dari cepat pening, saya kini mudah merasa serabut dan kusut pada bunyi bising dan kuat, malah dengar orang berbual pun rasanya macam kena migrain, kepala otak berdenyut-denyut, kalau duduk rumah sorang-sorang saya tutup TV dan cuma main game zuma dalam laptop.

Paling ketara ialah emosi, saya semakin cepat terasa dan mudah marah, pantang salah sikit. Kesian anak-anak kadang-kadang bukan salah diorang pun tapi kena tempias, bila dalam keadaan begini saya mengharap untuk difahami oleh orang terdekat, saya tidak mahu dipaksa dan tidak mahu ditekan. Itupun kalau ada yang faham.

pagi tadi kat klinik, nurse cakap tekanan darah saya sedikit tinggi malah darah saya juga kurang, nurse suruh rehat banyak-banyak, badan tak boleh terlalu letih yang bagusnya berat saya ok.

Doa saya jangan ada apa-apa masalah masa bersalin nanti dan kalau pun ada, saya berserah semuanya pada Allah.

Tuesday, July 24, 2012

dalam penantian-minggu 38

Minggu ni masuk minggu 38, dalam hati ada rasa macam-macam, berdebar pun ya, macam tak ready pun ya walau dalam masa yang sama saya mengharapkan agar penantian saya berakhir dengan cepat, orang kata lagi cepat lagi bagus sebenarnya, sebab selagi belum lepas selagi itu rasa berserabut, serba tak kena. Tambah-tambah lagi bila baca status kawan-kawan dalam FB post tentang kehadiran orang baru, lagilah rasa nak cepat, tapi itu kuasa Allah Taala, sebagai manusia biasa saya hanya mampu menanti sambil-sambil usaha setakat yang mampu.

Rutin klinik juga semakin kerap, semalam ada seorang ibu muda yang kebetulan duduk sebelah saya bertanya 'kak, kalau pecah air ketuban macammana ye?', lama baru saya jawab, saya katakan saya tidak tahu sebab kedua-dua kelahiran saya sebelum ini ialah tanda darah.

Kemudian dia bagitau 'mak saya kata kalau ketuban darah rasa sakit sangat masa nak bersalin, betul ke kak?', saya senyum,tidak tahu mahu jawab apa sebenarnya sebab saya hanya ada pengalaman bersalin ketuban darah dan keduanya saya tidak tahu interpretasi sakit pada ibu muda itu yang bagaimana, terus-terang kalau tengok pada luarannya saya rasa ibu muda itu bukan jenis orang yang tahan sakit, sepanjang menunggu giliran dia duduk dengan kepalanya terkulai di bahu suaminya, muka monyok, bibir pucat dan berkeluh-kesah, pegi toilet suami pimpin, puasa memang tak lah sebab dia minum milo kejap tadi, tapi itu kalau tengok luarannya lah, saya tak berani judge inner strength dia macamana, mungkin lebih lembik atau juga mungkin lebih kuat dari apa yang saya nampak.

Saya sendiri pun tidak tahu setakat mana level ketahanan saya melawan sakit, mungkin rasa sakit yang Tuhan bagi pada saya tidaklah sesakit orang lain dan mungkin juga sebaliknya, cuma bila ada yang cerita pada saya dia bersalin tak sakit langsung, saya akan wonder rasa sakit pada dia itu yang macamana, mungkin kalau setakat contraction pada dia itu hanyalah sakit biasa berbanding dengan rasa sakit dicabut nyawa atau seperti yang saya tulis sebelumnya, intrepretasi sakit pada setiap manusia itu berbeza, kerana sakit itu juga ada dua perkara, samada sakit yang nampak kesannya luarannya ataupun sakit yang hanya dapat dirasai dari dalam, hanya diri kita sendiri tahu tahap kesakitan kita dimana.

Apapun, saya masih mengharapkan agar segalanya tetap dipermudahkan untuk saya, dari proses menunggu tanda hinggalah saat melahirkan, pada saya apapun keadaanya, mesti akan ada nilai kesakitan itu - gembira dan bersyukur. Semoga selamat dan sejahteralah semuanya. Doakan saja yang terbaik untuk saya.

Monday, July 2, 2012

tiada spesifikasi

kembali tenggelam timbul faktor masa dan malas jadi penyebab utama, maaf.

saya sudah berada dalam mode sedang menunggu hari bermula julai ini, mungkin juga mahu menenangkan hati yang sudah mula dup-dap dup-dap, terlintas hati pula mahu menulis hari ini. Banyak benda sebenarnya cuma tidak tahu mula yang mana satu.

Thursday, May 31, 2012

rindu

Sudah lama tidak baca buku yang benar-benar baca, buku 'Mautopia'- Ridhwan Saidi, pun tak habis-habis baca lagi, buku library pun belum pulang untuk ganti buku baru.

Rasa semakin dekat semakin hilang fokus, mungkin juga sebab pergerakan jadi semakin lambat, macam siput babi! itu sebab otak juga semakin lembab, baca buku sama seratus kali pun masih tak faham-faham.

Thursday, May 24, 2012

Lotus Flower

Aku memang tertarik dengan VC yang ini, aku rasa Thom Yorke punya sisi menarik sebagai entertainer selain dari penyanyi radiohead, aku rasa ini adalah expresi soul and mind ThomYorke tru his passion, music..aku rasa dia memang under marijuana possession time ni, tapi aku peduli apa sebab aku suka gila hingga tak terkata!

Hail TY!!!


Monday, May 21, 2012

diorang dah lepas - aku masih bertahan.

Petang tadi dapat perkhabaran rakan baik dah selamat bersalin anak perempuan melalui proses ceaser, syukur semuanya selamat. Minggu lepas pun ada kawan satu kolej bersalin anak lelaki, dalam  minggu yang sama ada x-ofismate bersalin anak lelaki juga, dua-dua mereka bersalin normal, masing-masing shared gambar baby dalam FB, tiba-tiba hati rasa cemburu sebab mereka dah lepas satu rintangan besar - melahirkan anak, sekurang-kurangnya rasa berdebar-debar dan sentiasa ternanti-nanti itu sudah lepas.

Yang aku, masih lagi dalam perjuangan ada lebih kurang 10 minggu lagi dan selagi belum sampai detiknya macam-macam hal boleh jadi, boleh jadi mudah boleh jadi sebaliknya, boleh jadi selamat dan boleh jadi juga tidak. Apapun, aku minta segala yang terbaik untukku nanti - mudah dan selamat. Tolong AMIN - kan sekali ye, semoga urusan aku dipermudahkan semuanya.

Sunday, May 20, 2012

rasa macam tak cukup

Hari ini ahad, kelmarin sabtu ada 2 hari hujung minggu untuk rehat tapi entah kenapa aku rasa macam tak cukup-cukup, masa tengah taip entry ni baru je lepas sidai baju tapi herannya masih ada lagi yang belum basuh, pastu dah kutip siap dah baju taska anak-anak untuk esok, baju sekolah dhani, baju laki dan baju tuan badan sendiri tapi belum lipat-masuk dalam beg (baju-baju anak)dan iron (baju laki-bini).

Tau jelah bila tengah sarat ni, dah trimester tiga dah pun, semua benda yang biasanya boleh setel setengah jam sekarang sudah jadi sejam, jalan pun kedek-kedek, kalau tidakpun hincut-hincut sebabnya celah kangkang sudah mula rasa ngilu, pas tu sakit belakang yang tidak pandai surut, duduk ke, berdiri ke, baring lentang ke, kiri ke, kanan ke, letak minyak ke, gosok-gosok ke, tetap jugak rasa sakit. Kadang-kadang rasa tertekan sebab 24/7 tidak pernahnya rasa selesa, tambah-tambah pula esok kerja, mesti kena bangun awal then petang nanti balik rumah kaki dah rasa berat sebab bengkak, maklum jelah di ofis bukannya boleh buat kerja sambil baring senang lenang. Balik-balik rumah pulak kena setel makan-minum-mandi-pakai-tidur-lasak-galak budak lelaki kecik yang dua orang tu.....

oooohhh, kalau nak kira mengeluh, semua benda boleh di komplen, nak suruh sabar, tak tahu sabar takat mana lagi dah, rasa-rasa ni pun dah memang cukup sabar dah ni, kalau ornag lain mungkin ada juga bibik ke, mak ke, adik-beradik ke, sedara-mara ke tolong tengok, yang aku? ABC sampai Z ditanggung 100% sendirian berhad. ini pun tiba-tiba teringat kain baju yang selambak belum lipat, even barang baby pun belum ada satu pun yang setel, maunya tiba-tiba anak aku lahir cepat dari due date, haru aku.

eh, dah pukul berapa dah ni, esok kena bangun awal sebelum jam 5 itupun janganlah malam ni akku susah nak lena macam malam-malam sudah, karang aku carik MC pula esok pagi gara-gara bangun lambat. daripada aku dok meroyan bagai dalam blog baik aku gi mandi pastu pejam mata rapat-rapat-paksa tidur.

Sekian, terima kasih.

boredom

i was in total boredom, try to ignored but i just can't.
wish i can escape from this for a little while...
yaa, kerana terlalu boring yang tidak terbendung
lalu buat entry bodoh ini, sekian.

Wednesday, May 16, 2012

pergilah kamu kepadanya....(selama-lamanya)

Maaf, aku sudah tidak mampu berjeda
walau telah beribu kali mencuba
kamu tetap saja begitu hingga kita menjadi semakin parah dan luka

sudah puas aku mencanda
sudah jenuh aku menjaga
namun tetap saja aku mendamba
kerana kamu sentiasa lupa

Kalau wang ringgit yang kamu pinta
aku memang tidak mampu sedia
kalau harta benda yang kamu harap
aku memang tidak punya walau seruap

Yang aku ada cuma rasa cinta
untuk aku belai lembut jiwa anda
yang aku punya hanya kasih
untuk aku pandu rasa agar abadi

tapi,
pintamu bukan cintaku
mahumu bukan kasihku

Sungguh, aku sudah alpa
hingga aku sudah tidak mampu meminta
aku lepaskan kamu dengan rela
mungkin pahit, memang sakit tapi tidak mengapa
asal bisa aku pastikan diri ini tidak terus terluka 


Jadi, kali ini biarlah aku rela
pergilah kamu padanya
dia yang sentiasa kamu damba
yang punya segala untuk penuhi jiwa raga

selamat tinggal selamanya.....

Tuesday, May 15, 2012

kosong

Kalau hati sudah rasa kosong
dunia juga rasa statik
tiada rasa, tiada raga
tiada indah, tiada airmata
kerana semuanya rasa kosong
rasa tiada. rasa entah.

p/s : tidak berkaitan dgn lagu najwa latif.

Monday, May 14, 2012

Pergi Mati !

Kalau datang kamu untuk menyakiti hati kami
lebih baik kamu pergi mati
kalau hadir kamu mahu menyeksa hidup kami
lebih bagus kamu pergi mati
kalau adanya kamu disisi untuk meyusahkan kami
seharusnya kamu pergi mati.

Jangan terus berada diantara kami
kalau setakat mahu jadi tahi
pergi terus dari kami
kalau mahu jadi palat

kerana kami juga tidak perlu
ada tahi dan palat menyelit
di antara kami
sebab rasa tahi dan palat itu sungguh menjelikkan!

Saturday, May 12, 2012

Rakam dan Rekod

Dunia teknologi yang penuh dengan pelbagai gadget buat segala-gala hal dunia nampak mudah. Dulu orang hanya boleh tengok gambar untuk menafsir sesuatu perkara yang berlaku dan biasanya tafsiran itu akan ada kesimpulan yang pelbagai, mungkin sebab gambar adalah objek tidak bergerak yang hanya menunjukkan sesuatu yang pegun.

Hari ini, gadget yang macam-macam buat manusia juga berfikir dan bertindak macam-macam - sikit-sikit rakam, sikit-sikit rakam lepas tu upload dalam youtube untuk jadi tontonan umum, dari aksi seks sampai ke ceramah agama semua ada, dan terbaru ialah aksi dera anak, itupun nak rakam masuk youtube, kalau betul rakam untuk jadi bahan bukti kenapa tidak serah terus video tu kepada polis? ataupun polis ke yang upload tu dalam youtube? entah apa tujuannya?

bimbang pula rasanya bila aksi rakam dan rekod ni jadi terlalu mudah dan sangat cepat. Salah siapa sebenarnya? si pencipta gadget kah atau si manusia yang terlalu obses pada aplikasi gadget?

Wednesday, May 9, 2012

kehendak hati

Rasanya aku tidaklah terlalu tua untuk jiwaku mengasak hati mahu kelihatan menarik di mata manusia sekeliling, tipulah kalau aku kata aku tidak suka dipuji, bohonglah kalau aku cakap aku tidak suka kelihatan cantik, jangankan pada rupa-paras, malah pada penampilan sekalipun, lebih-lebih lagi bila aku duduk KL, segala yang cantik, tertarik, menarik semuanya ada disini.


Ingat, aku tiada kehendak untuk kelihatan stylo seperti dia? aku juga mahu berpakaian seperti dia walau aku tahu wajah aku tidak seperti dia, ada waktu hati aku meronta-ronta mahu bercontact lense kaler biru, kaler grey, kaler hazel yang pasti menampakan kelainan pada wajah. Tengok orang pakai, hati aku juga mahu. serius!

Tapi, itu kehendak hati mungkin bukan kemahuan nyata, tengok, betapa mudah hati manusia diasak duniawi, setan sangat mudah menggoda. Hati, teruskan bertahan.

Monday, May 7, 2012

Kematian

Saya selalu terfikir, jika satu hari nanti saya mati dan menjadi penduduk barzakh adakah saya mampu untuk mengenali dan mengingati mereka-mereka yang terlalu dekat di hati saya di sepanjang tempoh kehidupan saya?

kebetulan, semalam saya bermimpi berjumpa arwah ibu, sekitar jam +-2pagi dan tidak lama selepas itu hujan turun lebat, orang kata mimpi awal pagi itu adalah mimpi yang ada benarnya, entah...saya tidak pasti keutuhan itu, cuma saya yakin saya melihat arwah ibu berselimut putih, bersanggul seperti biasa dan sedang berbaring ke sisi kanan sambil matanya tertutup...tidak pasti samada sedang tidur atau juga itu bayangan hari-hari terakhirnya satu ketika dulu.

Tapi, selepas itu saya langsung tidak mahu lelap, puas saya berkalih kiri-kanan tapi mata masih tetap segar, walaupun fikiran saya kosong dan tenang ketika itu. Akhirnya, jam4.30 pagi saya bangkit, memeluk sayang dan mencium dahi dan pipi kedua hero kesayangan saya sebelum bangun melakukan apa yang sepatutnya saya kerjakan.

Pagi ini, saat saya menaip -mata saya masih lagi segar-bugar tiada rasa kantuk. Lantas, fikiran saya sekali lagi bekerja " Adakah ibu saya masih mengingati saya sebagai anak perempuan terakhirnya selepas hampir 18 tahun meninggalkan saya [kami] ?. Kemudian saya terjumpa satu riwayat dalam blog DrMaza:

“Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya” (riwayat Ibn ‘Asakir dll, dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain).

Dalam hati saya terdetik, andai satu hari nanti takdir untuk saya menjadi penduduk barzakh tiba, saya [seboleh-bolehnya] tidak mahu orang-orang kesayangan saya - terutamanya, anak-anak saya, adik-beradik saya, bapa saya dan sesiapapun yang pernah mendapat tempat dihati saya untuk saya sayangi- saya tidak mahu dilupai oleh mereka, saya mahu terus dikenali dan diingati supaya bila setiapkali saya melalui taman mereka dan memberi salam, salam saya sentiasa bersambut dan begitu juga sebaliknya. Sedih rasanya bila orang-orang kesayangan saya tidak mampu mengingati dan mengenali saya lagi bila berada di alam itu nanti. 




p/s : Semoga Ibu saya masih mahu menyambut salam dari suaminya [bapa] dan anak-anaknya termasuk saya disini bila kami datang melawatnya setiapkali. Apapun saya yakin ibu akan sentiasa ingat dan akan sentiasa menyambut salam kami semua. Selamat Hari Ibu....






Sunday, May 6, 2012

Cinta Aku.

sumber
 
Lazim manusia biasa
yang diciptakan dari tanah hitam
yang punya naluri dan rasa
yang ada hati dan perasaan

Maka dengan itu timbullah cinta
rasa padu yang mengasyikkan
rasa kejap yang membahagiakan
rasa damai yang menenangkan

Bila nyalarasa cinta itu marak
jiwa berbunga gebu
bila nyalarasa rindu itu membuak
hati berlagu merdu

Aku tidak perlu menfacebook kan rasa cintaku seperti mereka
Aku juga tidak butuh twitter untuk melahirkan kasihku seperti yang dilakukan mereka
kerana aku yakin bahawa Cinta Aku ini alunan rasanya adalah tautan jiwaku dan jiwamu
kerana aku yakin bahawa Cinta Aku ini perasaannya adalah tautan kasih hatiku dan hatimu

Aku yakin Facebook bukan saksi hatiku yang sebenar
Aku pasti twitter bukan kadi kepada perasaanku yang nyata
Cinta Aku hanya kerana yang satu - DIA
Tuhan yang mencipta semua nyalarasa itu untuk dua hati bersatu
di bawah payung redhaNya.

Saturday, May 5, 2012

lemas

percik dingin peluh
jiwa rasa kacau
hati terus berkocak
terasa nafas juga lemas

memaksa diri
memacu tenaga
lemas lagi....

hela nafas kian kejap
kadang perlahan, kadang laju
tapi rasanya tetap sama
lemas dan lemah.......

Wednesday, May 2, 2012


sumber : FB

Sunday, April 29, 2012

menggamit perasaan

Kadang-kadang, sekali-sekala - tidak dinafikan kenangan aku dengan sang mantan menggamit rasa. Kadang-kadang ada ketika, aku mengingati kisah-kisah lama dengan sang mantan,bila si dia yang indah - rasa istimewa, atau si dia yang manis - rasa bahagia, ada ketika hati juga goyah bila ada waktu aku pula membandingkan sang mantan dengan kehidupan masa kini.

Tapi, apapun kenangan dengan sang mantan - yang bahagia, mahupun yang manis - segala apa yang menggamit perasaan itu, akan berakhir dengan satu perkataan "SYUKUR" kerana aku tidak memilih mereka bila aku tahu dan sedar bahawa, apa yang aku punya kini sudah cukup untuk memberikan kebahagiaan -  dalam apa jua bentuknya.

Saturday, April 28, 2012

Perjalanan kita masih panjang sebelum kita menempuh kematian dalam apa cara yang wajar sekalipun.

Friday, April 27, 2012

Cinta yang agung adalah cinta yang gagal - Hishamudin Rais


benarkah?

Thursday, April 26, 2012

kian hampir

Mula-mula dulu, lepas je akad nikah aku terus bisik kat laki aku yang aku tidak bersedia untuk mengandung dalam masa terdekat - dia angguk.  First night sebelum aksi gomol, aku sekali lagi ingatkan dia,aku belum bersedia nak dapat anak - lagilah laju dia angguk, dipendekkan cerita empat hari lepas nikah aku dan dia terpaksa duduk jauh, aku balik sabah dan dia masih di kl, setiap dua bulan sekali dia datang jumpa aku - mungkin sebab itu hati aku 'lembut' - dan kemudian Allah bagi kami rezeki selepas itu - Ashjadhaniel. Alhamdulillah.

Kerana trauma sakit bersalin, sekali lagi aku berkalih - kalaulah aku ditakdirkan punya seorang zuriat saja, aku redha, tapi sekali lagi, Tuhan maha kaya - dan kemudian kami diberikan lagi rezeki selepas itu - Ashrafael. Syukur.

Sekali lagi, kerana trauma dan insisi yang agak besar kali ini aku nekad - biarlah, kalau takdir aku punya mereka berdua ini, aku redha sepenuh hati.

Tapi, Tuhan itu maha berkuasa, sekali lagi - tanpa dirancang dan tanpa dijangka-kali ini, aku sedang melalui fasa keibuan untuk kali yang ketiga yang setakat ini aku masih berteka-teki tentang adam kah atau hawa kah dia? - kali ini dalam pada berbelah-bagi - aku terima dengan hati terbuka walaupun hidup jadi semakin kalut dan kelam-kabut. Aku cuma tidak sabar untuk melalui rutin itu untuk kali yang ketiga - sakit dan seriau sudah pasti, moga terus dikuatkan semangat dan ditabahkan hati untuk semua perjalanan akan datang yang kian hampir.Amin.

Wednesday, April 25, 2012

#occupy dataran

Sudah hampir dua minggu dataran penuh dengan para demonstran, majoritinya muda-muda lagi, kadang-kadang bila saya lalu depan mereka yang berkumpul ramai-ramai tiap petang, mereka menyapa mesra - tersenyum dan tidak menganggu cuma adakala mereka menjerit sama bila ada motorist-motorist yang lalu dan menjerit-jerit kearah mereka.

Apapun, mereka berdiri atas perjuangan mereka dan saya selaku pejalan kaki yang lalu disitu setiap pagi-petang hanya mampu memandang para demonstran dan para pak bandaraya yang masing-masing berkumpul berasingan. no komen.

cuma, para demonstran mahupun pak bandaraya telah menjadikan sesi menunggu diambil suami setiap petang saya terasa selamat dan tidak perlu bimbang, tidak seperti hari sebelum dua minggu lepas bila saya sentiasa gusar menanti berseoranagn disitu, maklumlah dataran itu tempatnya pelbagai jenis manusia dengan pelbagai karenah setiap hari.  

Sunday, April 22, 2012

misteri - CINTA


Cinta bukan hanya sekadar luahan, ungkapan ataupun ucapan. Cinta malah lebih daripada semua itu, cinta adalah pengorbanan, cinta bukan bererti bahagia semata-mata- cinta itu adalah segala-galanya - baik yang manis mahupun yang pahit!

kerana cinta adalah misteri yang tiada siapa pun mampu mengerti - (sayap-sayap cinta ~ Ahadiat Akashah)

Saturday, April 21, 2012

Kadang-kadang kita tidak sedar

Hari tu aku rasa hati sangat kosong, jiwa rasa terlalu 'fragile'. Kalau saat itu ada orang cantas aku memang aku akan jatuh, bukan setakat jatuh terduduk tapi mungkin sampai jatuh terlentang, dan mungkin tidak akan bangun-bangun lagi.

Dalam keadaan begitu, menangis bukan lagi satu kemestian kerana bila kita dalam keadaan paling 'down' pada diri sendiri, kita sebenarnya tidak mampu untuk menangis, yang menangis dan meraung adalah dalam jiwa, tempat yang mana tiada siapa yang boleh nampak, tiada siapa boleh mengerti dan tiada siapa boleh selami.

lalu aku dengan rendah diri mengadu dan merintih padaNYA, meminta penuh tulus.- memohon agar dipertemukan jawaban- mungkin bukan jawaban sebenar tetapi lebih kepada penyelesaian untuk menamatkan satu ikatan, mahuku cuma satu, kalau itu adalah yang terbaik maka aku redha.

Aku tidak berbuat apa-apa selepas itu,langsung tidak berusaha untuk menjernihkan suasana yang kabut kerana hatiku ketika itu redha, pasrah dan rela. Tapi, tiba-tiba dalam bertarung melawan semua perasaan 'down' itu tanpa dipinta, tanpa di duga ada kemaafan yang dihulur, mengakui ke khilafan diri-sendiri lalu memohon untuk dimengertikan. aku terkedu, tidak terkata apa.

Ya, selalunya kita tidak sedar, Tuhan itu sentiasa ada perancangan untuk setiap manusia, malah punya jawaban untuk setiap titik persoalan. Detik hati berkata : mungkin masanya belum tiba kerana masih ada tujuan dan matlamat lain dalam hidup walau bukan untuk aku tapi mungkin untuk kami berdua.

p/s : till then

sedang dalam mood :)

Pagi dua puluh satu april dua ribu dua belas di sebuah rumah kos rendah somewhere in sentul, sedang menikmati dua bungkus nasi kerabu, tiga jenis kuih-muih dan sepinggan roti canai sambil dihiburkan oleh mereka:



bila semuanya bersama Milo ais dan Teh'O terasa begitu enak dan asyik sekali, bila dunia terasa begitu indah dan ringan.

Friday, April 20, 2012

untuk apa

orang tanya aku menulis untuk apa?

aku jawab : aku menulis kerana aku mahu menulis, aku menulis kerana aku bisa menulis, aku menulis kerana remedi hati aku ada dalam tulisan, supaya aku tidak perlu menjaja cerita diri bila lara dan tidak perlu bercakap ketak-ketak bila aku punya pandangan sendiri - biar semuanya hanya pada tulisan.

aku tidak minta sesiapapun bersetuju denganku malah aku tidak bisa memaksa mereka-mereka membaca tulisan aku, siapa yang datang menyapa juga aku biar sepi, kerana aku bercakap hanya untuk diriku berdasarkan kepada pandangan dan perasaanku kerana bukan semua perkara tertulis perlukan jawaban.

cukup sekadar ada yang sudi membaca, aku lega. Bila ada yang menegur sapa, aku terima- baik atau buruk, aku tidak pernah berniat menghina apalagi mencaci bila aku rasa semua manusia itu darjatnya sama dimata Pencipta-Nya - kerdil dan tidak berdaya.

Thursday, April 19, 2012

ambil kesempatan

bila diam, orang selalu ambil kesempatan
bila senyum, orang suka ambil kesempatan
bila bersahaja, orang tetap ambil kesempatan

mungkin mereka lupa - setiap individu itu punya hak personal sendiri
tak perlu untuk diluah, tak perlu untuk dikata

jadi, jangan terus-terusan jadi manusia ignorance, kalau tidak mahu diri sendiri disakiti!

Wednesday, April 18, 2012

Letih

Kalau ikut hati
memang sudah jemu
kalau ikut rasa
sudah lama tepu

Tapi, kerana nyalarasa
aku diam - tidak tahu mahu terus bertahan atau beralah

Mampukah?

Tuesday, April 17, 2012

Berat sebelah.

Kalau hal ilmu agama, aku akui aku memang daif, bab hukum-hakam lagi lah aku buta, selalu kabur-kabur, selalu was-was, selalu serba-salah, cuma mungkin sebab aku rasa aku dah makin berusia(lagi?) dan aku sudah melalui beberapa fasa dugaan dalam hidup, aku mula berfikir macam-macam, dari hal diri sehingga persekitaran, dari kehendak kepada keperluan, dari liberalisasi kepada keagamaan.

dan selain daripada kehidupan perkara paling selalu buat aku berfikir adalah perihal hubungan, kisah hati dan perasaan. Kerana setelah melalui 6 tahun perkahwinan yang ada manis madunya, yang ada goyah berantakannya ,yang ada ribut taufannya, yang ada angin sepoi-sepoinya, aku mula selalu berfikir dan terfikir soal nikah-kahwin, rasanya sepanjang aku berkesempatan mendengar, membaca, menghadiri ceramah ataupun perbualan biasa perihal agama, perkara yang wajib aku dengar ialah,

- Isteri akan nusyuz bila ingkar perintah suami, kalau suami kata jangan keluar rumah tapi isteri keluar juga maka hukumnya haram.

Tapi, bagaimana pula bila suami keluar rumah tanpa persetujuan dan kerelaan hati isteri?  hukumnya?


- Isteri yang menolak untuk melayan suami akan dilaknat oleh malaikat sampai esok pagi.


Tapi, bagaimana pula bila suami mengabaikan tanggungjawabnya dalam melayani nafsu berahi isteri yang juga seorang manusia biasa yang punya kemahuan dan nafsu untuk dilayan dan digauli selayaknya ? hukumnya?


- Isteri bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga dan anak-anak ?


Tapi, bagaimana pula bila suami yang seharusnya menjadi ketua keluarga dan pencari nafkah ialah seorang lelaki yang tidak pernah bertanggungjawab dalam soal nafkah dan tidak pernah menjalankan tugasnya sebagai ketua keluarga malah tanpa malu-malu mengambil hak (gaji) isteri untuk digunakan samada untuk kegunaan sendiri mahupun keluarga, samada dengan atau tanpa kerelaan isteri? hukumnya?


- isteri hendaklah sentiasa menjaga maruah diri, suami dan keluarga malah isteri juga bertanggungjawab menjaga aib suami supaya tidak terbongkar.


Tapi, bagaimana pula bila suami dengan sewenang-wenangnya menjatuhkan maruah isteri dengan mendedahkan aib isteri malah siap hina keturunan dan asal-usul isteri kepada orang sekeliling tidak kira dihadapan keluarga, sanak-saudara, atau sesiapapun? hukumnya?

-Isteri seharusnya menjadi tulang belakang suami dan mendorong suami untuk terus berjaya dalam kehidupan.

Tapi, bagaimana pula bila suami tidak pernah memberi dorongan mahupun motivasi kepada isteri dalam merealisasikan impian dan cita-cita isteri, malah siap cakap isterinya lembab dan bodoh macam lembu? hukumnya?


- Isteri wajib untuk sentiasa memastikan suaminya gembira dan sentiasa bersenang hati dengannya?


Tapi, bagaimana pula bila suami tidak pernah menyenangkan hati isterinya samada dari segi perbuatan ataupun sikap, sentiasa menyakitkan hati dan sentiasa berkasar dengan isteri, toleransi lagilah tidak pernah langsung? hukumnya.

 - Isteri harus tahu/pandai memasak untuk menambat hati suami supaya sentiasa lekat duduk rumah.


Tapi, bagaimana pula bila isteri yang penat-lelah memasak untuk suami lepas isteri balik kerja tapi rupanya suami keluar hu ha hu ha dengan kawan dan hanya balik rumah pada keesokan paginya. hukumnya?

Kenapa kita selalu saja dengar perihal tanggungjawab dan peranan isteri serta hukumnya bila tidak dilaksanakan, sikit-sikit semua burden letak pada satu pihak sahaja, maka ini akan jadi modal untuk satu pihak lagi ambil kesempatan pada yang satu lagi, kenapa tidak ada sesiapapun (bertauliah @ tidak) yang mahu menghuraikan dengan panjang-lebar supaya semuanya lebih jelas untuk kedua-dua pihak, kenapa tidak ada perbincangan mendalam tentang penyebab isteri curang atau isteri kelar anak atau isteri potong 'anu' suami, rasa-rasanya lah dimana peranan suami dalam menyumbang semua kejadian itu?

Ilmu agama ini apalagi perihal hukum-hakam kena faham betul-betul, bukan setakat kena tahu, yang mengajar pun buatlah cara mengajar untuk mencurah ilmu, bukan setakat jadi bahan gurauan untuk gelak-gelak dalam majlis ilmu. Aku benar-benar mahu belajar!

Aku mahu tahu Takdir

Dulu aku tidak kisah sangat, atau memang tak pernah ambil kisah tapi mungkin sebab umur aku yang semakin meningkat naik aku mudah jadi pesimisistik, sebab itu hati aku sentiasa rasa ada keperluan yang kuat untuk mahu tahu ketentuan hidup aku, mahu tahu tentang takdir aku, mahu tahu dengan pasti masa depan perjalanan kehidupan aku sebagai seorang manusia, isteri (buat masa sekarang) dan ibu kepada anak-anak dan bakal anak aku nanti.

Aku juga mahu tahu bagaimanakah perjalanan karier aku, perjalanan aku dan karier aku dalam menempuhi kehidupan mendatang. Dalam tempoh tiga abad kehidupan, aku sudah tempuh pelbagai keadaan, dari semanis-manis kehidupan sampailah kepada sepahit-pahit kehidupan, dari aku rasa berlapang dada sehingga aku rasa sesak nafas sampai rasa nak putus nyawa. Tapi aku percaya pada karma, aku yakin pada kehidupan umpama roda yang sekejap diatas dan sekejap dibawah.

Cuma yang aku pasti aku tidak pernah tahu adalah masa, bila ketika aku berada diatas dan tidak lagi dibawah, bila ketika aku boleh saja tersenyum riang syukur dan tidak lagi berkeluh-kesah macam sekarang, atau bila aku sudah tidak perlu lagi berfikir tentang banyak perkara remeh yang menyesakkan otak dan mengkelam-kabutkan kehidupan aku dan anak-anak aku.

Kalau boleh aku mahu tahu semua turutan masa depan hidupku. Apapun, aku yakin Allah punya rencana terbaik untuk setiap manusia, terpulang kepada diri-sendiri mahu yang bagaimana, kalau kau mahu kehidupan yang lebih baik dan teratur maka kau perlu berusaha kearah itu dan begitu juga sebaliknya, kalau kau rasa kau mahu untuk terus bertahan dengan kehidupan yang serba-serbi menyesakkan kau bertahan dan jangan berbuat apa-apa. sampai mampus!

Tuesday, April 10, 2012

Renungan - Ingatan dan pengajaran utk diri sendiri #3

Saya copy & paste dari wall FB yang makcik jue linkkan ke saya, moga jadi ingatan juga kepada semua :

PERBUALAN SEORANG BAYI SEBELUM KELAHIRANNYA ♥♥
(copy from breastfeeding zone)

Adalah dikisahkan….pada ketika seorang bayi akan dilahirkan ke dunia nyata.

* Bayi itu bertanya kepada Tuhan : “Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah.”

Tuhan menjawab: “Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya.”

* Bayi bertanya lagi: “Tetapi disini, didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia.”

Tuhan menjawab: “Malaikat mu nanti akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia di sana”

* Bayi bertanya lagi: “Bagaimana mungkin saya dapat memahami orang-orang bercakap dengan saya sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara untuk berkata-kata.”

* Bayi bertanya lagi: “Apakah yang boleh saya lakukan ketika saya ingin berbicara kepadaMu?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa dan bermunajat kepadaKu.”

* Bayi bertanya lagi:”Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya nanti?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu lah yang akan melindungimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya.’

* Bayi bertanya lagi: “Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak lagi dapat melihatMu lagi.”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku dan akan mengajarkan bagaimana kamu nanti akan kembali juga kepadaKu, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu.”

Pada saat itu, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran.

* Dan sang bayi bertanya perlahan : “Tuhan, jika saya terpaksa pergi sekarang ini, bolehkah Kamu khabarkan kepadaku nama malaikat yang Kamu maksudkan itu?”

Tuhan menjawab: “Kamu akan memanggil malaikatmu itu sebagai “IBU”. Maka ingatlah, sentiasa kamu berkasih sayang dengannya dan menghargai setiap pengorbanan ibu mu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa. Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat.”

Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak mu yang sedang membesar. Sesungguh nya Syurga itu dibawah telapak kakimu.

Monday, April 9, 2012

Bergelut dengan masa

Saya memang kurang punya masa yang banyak sejak kebelakangan ini, bukan sebab sibuk cari harta kekayaan tapi sebab keadaan diri yang buat saya semakin rasa ribut, memasuki fasa trimester kedua dengan dua orang hero yang semakin membesar, semkin bijak, semakin lasak, semakin ligat malah semakin banyak akal! Ada kala saya merasakan saya perlu 6 pasang tangan untuk handle mereka, itu belum lagi dengan pertanyaan yang semakin lama semakin menghenyak otak, sedangkan dalam pada masa yang sama saya mengusung perut kesana-kemari, pergerakan jadi terbatas dan lambat, sungguh saya amat tidak suka!

Friday, April 6, 2012

Melt my heart to stone..............

Wednesday, April 4, 2012

Emo

Memaksa diri saat minda tidak mampu memerah idea adalah seperti melakukan sesuatu perkara tanpa kerelaan yang kemudian buat kita rasa jengkel dan mual. Maaflah, minda masih lagi berlegar pada kejadian di Sungai Tua - Ulu Yam ahad lepas bersamaan dengan 1 april 2012 @2.30pm.

Kalau pada siapa yang tidak mengalaminya mungkin kurang faham perasaan ketika ditabrak ketika itu cuma situasi menjadi panik dan tegang kerana anak-anak dan anak-anak saudara ada bersama. Syukur semuanya selamat walau calit-calar masih kelihatan, sungguh aku ada sejuta alasan baru untuk terus berterima kasih kepada yang Maha Pencipta atas kuasaNya memelihara keselamatan kami sekeluarga.

Friday, March 23, 2012

sebak.

Semalam, aku call kakak aku setelah beberapa minggu tak call diorang sebab phone aku masuk sepital,mula dari cerita bertanya khabar hinggalah kehidupan aku disini, kebetulan time aku call tu dah jam 9.30lebih masih lagi tengah suap nasi kat rafael dan dhani tengah bising-bising mintak aku mandikan dalam bilik air.

Kakak : kenapa dhani tu?
Aku : dia minta saya mandikan tapi ni masih lagi suap adik makan.
Kakak : lambat mandi, lambat makan?
Aku : Ha'ah baru balik rumah jam 7.30 tadi, masak-masak sikit bagi budak makan, tapi adik makan lambat tu yang suruh dhani mandi duluan.
Kakak : Asri mana?
Aku : Belum balik, ada kerja lagi
Kakak: kau saturang lah ni urus anak-anak
Aku : Ya..hehehe
Kakak : hmmmm........diam

kemudian, kitorang sambung topik lain, cerita pasal kedai makan kakak aku pulak, tapi makin lama bercerita aku macam dengar suara kakak aku makin tenggelam. Aku tahu dia menangis, cuma aku tidak mahu bertanya, memang kakak aku yang seorang ni cepat saja tersentuh bila berbual dengan aku, sebab dia pernah cakap dengan abang dan adik aku yang dia kasihan kan aku yang duduk jauh dari keluarga dan terpaksa handle life sendirian apalagi dalam keadaan aku sekarang yang sudah masuk trimester kedua.  

Siapa kata aku tak sebak, kena lagi dengan keadaan aku sekarang tentu saja aku rasa bebanan itu sedikit berat daripada sebelumnya, cuma aku tidak mahu diri ini terus emosional dan kebetulan kali ini aku rasa hati aku memang mudah rasa emosi, mudah terasa.  sebelum apa-apa baik aku stop bercakap dengan dia, lepas tekan button merah laju saja airmata aku mengalir, ternganga-nganga anak-anak aku tengok. Tu yang malas nak layan sangat perasaan tu.

p/s : semoga hati ini tetap saja kuat berhadapan dengan segalanya. Amin.

Tuesday, March 20, 2012

Non-halal eh?


Tidak tahu kenapa, tapi kalau dikalangan persekitaran saya sekarang asal sebut saja perkataan babi, semua akan buat muka semacam, seolah-olah perkataan babi itu adalah perkataan yang terlalu jijik untuk disebut apalagi untuk dibayangkan.

Ada sekali tu saya ditanya oleh seseorang tentang keturunan dan asal-usul, sebabnya dia nampak status bangsa saya adalah lain-lain walhal pakai tudung [katanya], bila saya jawab saya berbangsa dusun then,  tiba-tiba dia tanya, 'your parents agama apa?' , saya jawab 'islam',  bila nampak dia macam keliru dan pelik, tanpa fikir panjang saya katakan pada dia bahawa ibu-bapa saya adalah non-muslim tetapi convert lepas berkahwin, mungkin tertarik dengan itu dia kemudian tanya saya balik agama asal parents saya, dan saya jawab, sebelum islam, ibu saya adalah free-thinker dan bapa saya adalah kristian.

Saya kira itu adalah jawaban paling telus ketika itu.Sebaik saja dengar begitu, dia kemudian tanya saya balik sambil senyum-senyum, so, your parents pernah makan babi lah ek?, sekali lagi, kerana mahu bersikap telus saya jawab 'Ya', reaksi dia memang sudah dijangka, dia buat muka terkejut kemudian buat muka jijik yang teramat sambil senyum-senyum sinis. Mungkin sebab saya islam saya kurang terasa dengan reaksi tersebut tetapi saya pasti pada rakan-rakan lain yang bukan beragama islam, reaksi begitu adalah amat tidak rasional dan terlalu annoying.

memang betul dalam agama islam, babi adalah haram untuk di makan tetapi pada agama lain babi bukan haram dan itu tidak menjadikan babi itu sebagai makanan non-halal kepada mereka, jadi apa masalahnya bila mereka makan daging babi? Adalah satu penghinaan bila mereka yang tidak mempunyai sebarang barrier, samada untuk memegang mahupun memakan daging babi dilihat seolah-olah mereka melakukan perkara paling jijik dan terkutuk atas kejadian makan dan pegang itu.

bila perkara begini berlaku, timbul perasaan malu saya pada diri sendiri bila ada dikalangan kenalan yang langsung tidak tahu berteloransi dengan orang lain terutamanya rakan-rakan berlainan agama dalam hal ini, jangankan kata tidak kisah, urusan makan-minum dia pun sebenarnya bukan hak orang lain untuk dipersoalkan, apalagi bila yang dipersoalkan itu adalah hukum yang tidak kena mengena dengan dia.

Saya pasti ramai yang tidak pernah tahu bahawa dalam salah satu cabang agama kristian ada satu ajaran agama yang mengharamkan pengikut mereka memakan daging babi, malahan larangan mereka lebih strict daripada itu bila mereka juga tidak meminum minuman keras atas alasan kesihatan, sedangkan kita tahu dan pasti ada orang beragam islam yang juga meminum arak dan terang-terangan mengaku dia mabuk, walhal asasnya tetap sama, babi atau arak- kedua-duanya adalah haram dalam agama islam? kenapa dengan arak tidak pulak rasa jijik? kalau nak jijik sangat biarlah jijik terus kepada semua perkara haram, ini tidak yang babi tau rasa jijik, yang arak, yang zina dan macam-macam lagi tu tak pulak rasa jijik sedangkan hukumnya tetap sama- HARAM.

Nak tunjuk jijik pun biarlah kena pada keadaan, nak buat muka geli-geli nak muntah pun biarlah depan orang yang sama kepercayaan, yang kau buat muka depan kawan yang tiada kena mengena dengan hukum-hakam halal & non-halal tu bukan setakat menghina tapi nampak macam kau tu melebih-lebih melampau, tu yang buat orang tak berkenan dengan agama yang dianggap universal, sebab dari perangai kau sendiri tu buat orang tak respect.

Sunday, March 18, 2012

jangan terlalu bersifat menghukum jika tidak berada di tempat mereka.

Saya baru balik dari cuti panjang bila dengar pasal kisah dirang dari berita TV3, dan dua hari lepas tu pula berita tentang penemuan mayatnya yang dibakar, bagi ibu yang punya anak seusia dia (5 tahun ), saya rasa kisah itu bukan saja terlalu menyedihkan tetapi juga terlalu menyayat hati, saya sendiri tidak dapat bayangkan keadaan saya jika saya berada di tempat ibu arwah.

Masih dalam situasi rasa bersimpati yang mendalam terhadap keluarga mangsa, saya kemudian terdengar dan terbaca beberapa kata-kata dan komen yang agak mengejutkan dari orang ramai bila mereka meletakkan kesalahan kehilangan arwah pada ibunya berikutan pengakuan ibu muda itu yang terleka kerana melayari FB ketika kejadian. Di kalangan rakan-rakan saya sendiri pun ramai yang point kesalahan direct to ibu arwah, malahan ada juga yang kata padan dengan muka ibunya, reaksi saya ketika mendengar semua 'cemuhan' itu ialah berdiam diri tetapi jujur saya langsung tidak sikitpun bersetuju dengan  mereka.

Saya sendiri pun punya akaun Fb, malah saya juga melayari social network ketika di rumah ketika menjaga anak-anak saya, dan ada ketika bila saya tengah syok saya juga pernah merasa geram pada anak-anak bila diganggu, saya kira rutin untuk Fb di rumah adalah normal dan saya tidak rasa fb adalah penyebab utama kehilangan anak itu, mungkin si ibu mengaku terleka kerana rasa bersalah selepas apa yang berlaku, bayangkan kalau kejadian ini tidak berlaku dan si ibu masih dalam situasi yang sama, sedang melayari fb tentunya tidak akan timbul cerita terleka kerana fb sepeprti yang diperbesar-besarkan oleh semua orang. kerana sensasi saya kaitkan pula dengan kisah ibu yang asyik melayan anak yang lebih tua bermain buaian sehingga tidak sedar anak bongsunya terjatuh dalam kolam di tasik titiwangsa baru-baru ini, adakah patut disalahkan si abang yang merengek minta dilayan ibu sehingga berlakunya kejadian tidak diingini itu?

kalau yang dipersoalkan ialah tanggungjawab, rasanya bukan setakat si ibu, si bapa malahan juga komuniti harus sama-sama perlu ada rasa tanggungjawab dalam hal ini. saya pernah terserempak dengan seorang kanak-kanak india (no offense) yang sedang menangis sambil menjerit 'i want my mummy' di tesco ampang sekitar tahun 2008/9 dulu, saya dan suami cuba mendapatkannya tetapi si kecil itu terlebih dahulu pergi kepada satu keluarga berbangsa cina yang kemudiannya membawa anak itu ke bahagian security untuk dibuat pengumuman, itu contoh tanggungjawab komuniti. bayangkan kalau pasangan cina itu tidak melakukan apa-apa ketika itu, saya pasti akan ada satu lagi cerita kanak-kanak hilang dalam berita seperti sharlinie (masa itu).

Dalam hal ini saya memang menyalahkan manusia tetapi saya lebih menyalahkan manusia berhati binatang yang tega melakukan itu kepada si anak kecil yang belum mengerti apa-apa, bukan semata-mata kerana Fb perkara ini terjadi tetapi kerana wujudnya manusia yang amat sakit otaknya yang sentiasa mencari kesempatan bila ada peluang yang menyebabkan perkara ini berlaku. Dan manusia jenis itu masih lagi berlegar-legar dikalangan kita, yang kita tidak tahu dan tidak mampu jangka, selagi belum ditangkap.

Saya rasa kasihan pada si ibu bila terbaca dan tedengar cemuhan dan kutukan yang macam-macam dari pelbagai orang, malah ada yang meletakkan kesalahan itu 100% kepada si ibu, seolah-olah si ibu memang mahu anaknya hilang dan dibakar, kalaulah benar, saya rasa si ibu tidak perlu bersusah payah menunggu sehingga anak itu berusia 5 tahun untuk melakukan semua itu sebaik sahaja sedar kewujudan anak itu sebagai janin satu ketika dulu, cemuhan dan kutukan kepada si ibu rasanya tidak terbanding dengan tempoh waktu sewaktu mengandungkan, melalui proses melahirkan yang sah-sah terlalu sakit dan kemudian membesarkannya menjadi kanak-kanak comel yang tersenyum manis sehinggalah kejadian buruk itu berlaku.

Adalah terlalu tidak wajar hanya kerana terleka dengan fb jadi alasan untuk terus-terusan mencemuh dan mencerca si ibu yang pasti ketika ini hatinya masih lagi walang kerana kehilangan dan kematian anak yang pernah dikandung 9 bulan dan dibesarkan sehingga 5 tahun sebelum menjadi mangsa manusia berhati iblis yang selayaknya dicemuh, dicerca, dikutuk atas kejadian itu, kerana selagi tidak, jangankan kerana fb, silap-silap esok anak dalam rumah pun dia berani culik dan bunuh kemudian, pada saya selagi iblis keparat itu belum dijumpai, selagi itulah hati saya sebagai ibu tidak akan tenang.

Tidak perlu lah dicemuh dan dicerca si ibu itu atas pengakuannya, memang kita sedih tapi hati si ibu itu pasti lagi bertambah-tambah sedihnya, si ibu pasti akan selamanya menyalahkan diri kerana kelekaannya sehingga anaknya menjadi mangsa iblis durjana itu. Kita sebagai ibu-bapa, ambil iktibar dan pengajaran supaya kejadian sama tidak berlaku pada anak-anak kita, sentiasalah berhati-hati dan teruslah peka pada keadaan sekeliling.

Thursday, March 15, 2012

Refleksi diri

Dekat ofis baru ada satu lif yang bila kita tengok diri kita nampak macam 'tak cukup', refleksi salah satu cermin dalam lif itu akan buat kita kelihatan ketot, badan panjang dan kaki pendek, kawan-kawan ofis selalu mengelak dari berdiri berhadapan dengan cermin tu sebab tidak suka kelihatan tak sempurna, ada yang cakap cermin tu macam mengejek. Aku tak kisah sangat kalau nampak refleksi cermin tu aku jadi pendek, lagipun bukannya hari-hari naik ikut lif yang serupa ada 7 lagi lif lain yang available.

Sedar atau tidak, siapapun manusia dalam dunia ini tidak mahu kelihatan 'hodoh', tidak kira fizikal ataupun sebaliknya, cuba kau cakap kat orang, kau ni buruk rupa lah, mesti orang tu sentap mungkin depan kau dia gelak sumbing sambil jawab, tak pe aku sedar aku tak cantik, macam dia redha dan boleh terima keadaan diri, tapi lepas tu, percayalah...kat belakang dia mesti-confirm akan bercakap kalau pun betul aku memang tak cantik tak payahlah cakap depan aku, paling kurang pun dekat FB mesti ada status begitu, tak percaya, cuba try!

Itulah manusia, dalam pada kita menafikan kita sebenarnya tidak lari dari hakikat, sempurna atau tidak, tidak ada manusia yang suka kelihatan buruk, tidak cantik dan tidak menarik, itu sebab kenapa boleh timbul pelbagai alternatif untuk mengubah diri, hidung kembang boleh dimancungkan, bibir nipis boleh ditebalkan, mata sepet boleh di galakkan malahan yang rendah pun boleh ditinggikan sekarang ini. Ini hasil daripada kehendak dalaman manusia yang tidak mahu menerima keadaan diri yang kurang sempurna lalu berusaha untuk kelihatan sempurna pada zahirnya.

Kesanggupan manusia untuk mengubah itu menyebabkan kita mula mengubah presepsi visual kita kepada sesuatu yang lebih menarik, walau kadang-kadang minda kita sedar dan jelas bahawa kesempurnaan  fizikal itu tidak semestinya menjanjikan kesempurnaan batin yakni hati dan perilaku. Ditambah pula, first impression biasanya merujuk kepada 'penyampaian' fizikal seseorang sebelum penilaian melalui sikap dan sifat.

Mungkin banyak logiknya untuk kita mengubah presepsi tipikal ini sebelum menilai seseorang itu, tengok sikap dalaman sebelum menilai luarannya supaya kita tidak menjadi terlalu obses kepada rupa dan perawakan sampai boleh membuat kita 'buta' pada kenyataan sebenar. Jangan dinafikan!
 

Monday, March 5, 2012

persiapan

Saya ada satu jenis masalah yang bila saya pergi ke sesuatu tempat contoh macam, kena pergi kursus luar beberapa hari, atau travel pergi mana-mana atau, even time balik kampung [sabah], saya akan kena insomnia beberapa hari sebelum itu,paling kurang 2-3 hari sebelum tu saya akan susah tidur malam dan kalau tidurpun akan terjaga tiap-tiap jam tetapi akan bangun terlalu awal, lepas tu terkulat-kulat tidak tahu nak buat apa sebab malam sebelumnya saya sudah clearkan semua perkara penting, dari packing sampailah mengemas rumah, all done well!

Tidak tahu apa yang tidak kena dan tidak faham kenapa saya perlu rasa risau untuk semua perkara. kadang-kadang benda-benda remeh pun rasa macam hal besar pula, macam sekarang ni, tengah menaip pun saya rasa risau tentang sampah yang saya belum buang,  padahal besok pagi pun masih sempat kalau betul nak buang pun.*sigh*

Masalahnya, saya pasti akan rasa letih, penat, mengantuk dan moody esok hari dan ini akan buat perjalanan saya itu jadi terlalu tidak menyeronokkan, dalam keadaan letih dan mengantuk itu saya akan sentiasa rasa was-was, takut tertinggal benda-benda penting, macam tiket, passport, ic dan etc. Jujur, semua itu buat saya stress.  Jika sesiapa ada penyelesaian untuk masalah ini, sudi-sudikanlah kiranya berkongsi agar boleh membantu saya, terima kasih!

perasaan keibu-bapaan


Tidak tahu kenapa sejak jadi ibu, topik perihal anak-anak adalah kisah paling happening untuk aku ceritakan, aku suka bila aku bercerita perihal anak, mereka memberikan respond samada keterujaan atau kelucuan ataupun kadang-kala sekadar tunjuk simpati, walau kadang-kadang aku perasan bila selalu-lalu sangat aku berkisah tentang anak, ada yang buat muka boring sebab memang diorang dah bosan dengar cerita aku yang sikit-sikit pasal anak, sikit-sikit pasal anak.

cuma dalam pada berkongsi keseronokan dan keterujaan berhadapan dengan anak-anak, aku selalu terlepas pandang akan perasaan mereka-mereka yang kurang bernasib baik perihal zurait, ya, mereka-mereka itu samada kawan-kawan rapat, office-mates dan saudara yang belum dikurniakan anak setelah sekian lama. Macam kat ofis aku sendiri aku ada beberapa colleague yang sudah lama berkahwin tapi belum ada rezeki untuk dapat anak, dan aku pernah dengan tidak ambil peduli perasaan mereka-mereka ini gah bercerita perihal anak-anak, walaupun mereka secara luarannya  tidak kata apa-apa tapi aku tidak nafikan jauh dalam hati mereka akan terdetik juga rasa jauh hati atas kekurangan itu, walhal aku sendiri pun pernah terasa hati bila kawan-kawan bercerita pasal tentang anak perempuan, apatah lagi mereka yang langsung tidak punya anak sendiri.

aku akui, kadang-kadang, selalu sebenarnya, aku sebagai ibu kepada dua anak, aku lupa yang manusia itu sentiasa ada ujian dalam kehidupan, mungkin mereka-mereka yang kurang bernasib baik itu  diuji dengan dugaan belum dikurniakan zuriat, ada yang telah berusaha bertahun-tahun, berbelanja beribu-ribu tapi masih lagi belum berjaya, jika dibandingkan dengan aku, selayaknya aku bersyukur bila punya zuriat sendiri tanpa perlu mengeluh tentang kehendak terlalu menginginkan anak perempuan. Itu salah sebenarnya.

Mungkin aku perlu untuk menjadi seorang manusia dan ibu yang nalurinya hanyalah untuk menyayangi dan membelai anak sepenuh hati tanpa mengira jantina, kerana tidak kiralah lelaki atau perempuan mereka tetap sama, iaitu amanah yang perlu dijaga dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh ibu-bapa untuk membesarkan dan mendidik mereka menjadi manusia yang sebenar.

Thursday, March 1, 2012

Islamphobia For Dummiez



Wednesday, February 29, 2012

bukan tidak minat...

Aku sebenarnya selalu serba-salah bila ada kawan-kawan terutamanya ofis mate (sebab aku jumpa diorang 5 hari / minggu) tanya aku pasal drama atau movie melayu, dulu time cerita ombak rindu tengah naik orang tanya aku dah tengok cerita tu tak? kalau aku jawab belum mesti ramai yang akan kata 'beesssttt...rugi tak tengok', even mak mentua aku pun pergi tengok cerita tu kat cinema, ataupun bila kawan-kawan seofis tanya aku pasal drama TV3 yang main pukul 7mlm tu, mesti aku terkebil-kebil tak tau pucuk pangkal sebabnya aku memang tak tengok cerita tu.

Bila selalu-selalu tak tahu, kawan-kawan akan cakap aku ni tak tengok cerita melayu sebab aku pro-cerita inggris, ada kalanya aku tidak rasa apa-apa, tapi ada masa aku rasa macam diperli, sampai pernah tau aku try follow cerita gemersik rindu/kalbu (tajuk tak sure) tapi aku cuma tahan tengok 2 hari je, lepas tu aku lupa dan tak tengok-tengok dah cerita tu sampailah kawan-kawna kata dah habis, sebenarnya bukan aku tak minat, ada juga cerita melayu yang aku tengok sebab ada juga cerita melayu yang best, cumanya mungkin sebab kebanyakan jalan dan pembawaan cerita tu agak lebih kurang sama buat aku kurang teruja untuk follow cerita melayu, kalau nak kata memang aku lebih banyak tengok cerita inggeris terutamanya, bukan sebab aku perasan atau apa tapi aku rasa pembawaan cerita yang pelbagai buat aku seronok untuk keep on watching.

Sebenarnya, aku takde motif sangat nak publish 'luahan hati' yang tak seberapa ini cuma aku saja nak buat entry pada hari terakhir mac yang hanya akan datang lagi 4 tahun. itu je....

p/s : Terima Kasih Kerana sudi membuang masa utk membaca........ ; p

Wednesday, February 22, 2012

WW #5 : One hell of a facial

Thursday, February 9, 2012

pelbagai rasa

sumber : tumblr
saya sedar sudah beberapa lama saya tidak menulis seperti dulu, seperti biasa alasan saya ialah masa, masa dan masa...hinggakan kebelakangan ini tidak kira dalam blog posting ataupun pada dunia sebenar saya kerap mengeluh dengan keadaan saya. Seolah-olah hanya saya seorang sahaja yang diuji Tuhan dengan seberat-berat ujian dan orang lain tidak, walhal, ramai lagi sebenarnya manusia yang diuji dengan pelbagai bentuk ujian dan jika dibandingkan dengan saya mungkin apa yang saya tanggung hanya setitik sahaja daripada apa yang mereka tanggung sebenarnya.

minggu lepas, seorang dari rakan seunit saya bertukar ke jabatan lain, dan perpindahan beliau itu banyak memberikan kelebihan dari segi pengurusan masa dan jarak perjalanan ke tempat kerja yang mana lebih memudahkan dia, dan sekali lagi perasaan saya tentang bebanan yang ditanggung terasa seperti semakin berat, saya dan dia sebenarnya selalu berkongsi rasa dan bebanan selama ini, saya mengadu dan mengeluh pada dia dan dia juga sebaliknya, tapi bila dia bertukar automatik saya merasa seperti sekarang i'm on my own now, saya sudah tidak punya siapa-siapa lagi untuk berkongsi perasaan.

manusia, pada dasarnya memang memerlukan seseorang yang boleh sekadar untuk jadi pendengar atau sekurang-kurangnya seseorang yang mampu memahami, dan kebetulan pandangan kami tentang satu perkara adalah sama dan tidak berbelah bagi, iaitu : kami [saya dan dia] bersedia untuk berkorban segala masa dan tenaga mahupun karier kami hanya untuk anak-anak kami, yang kebetulan kami juga sama-sama punya dua orang anak [dia dua-dua perempuan dan saya dua-dua lelaki] dan kini kami berdua juga sedang melalui fasa keibuan untuk yang kali ketiga. Sekali lagi, saya amat terasa.

Dan beberapa minggu ini saya memang melalui pelbagai situasi untuk pelbagai rasa, kehilangan seorang kawan juga antara sebab utamanya, mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku dan untuk dia saya doakan segala yang terbaik di tempat baru dan moga dipermudahkan segalanya dalam menempuhi fasa keibuan yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Thursday, February 2, 2012

Bumi itu satu

Semalam cuti wilayah jadi aku ada peluang bermalas-malasan sambil tengok Oprah show di NTV7, sebenarnya episod yang ni aku dah tengok dah sebelum ni, dua kali kot tapi kerana ini Oprah show maka aku tak kisah tengok episod sama berapa kalipun, tak kisah.

Ni episod Don't stop believing, tetamu jemputan ialah Arnel Pineda vocalist kump.Journey, From Skid row to Harvard girl, Khadijah Williams, dan NASA astronaut Jose Fernandez, kisah 3 orang biasa yang hidup biasa-biasa tapi mahu jadi luar biasa, aku tak reti nak cerita pasal diorang panajng-panjang, kalau rajin just search google.

Kisah 3 orang ni semua kisah luar biasa yang menarik, aku suka Arnel Pineda sebab dia memang humble dan kalau tak silap dia dah buka foundation sosial tolong orang di manila [tak tau nama]. Yang Khadijah Williams pula ialah kisah homeless girl yang berjaya ke Harvard dan Jose Fernandez anak petani yang migrate ke selatan california, tetapi  berjaya terpilih jadi astronaut NASA selepas 12 tahun menunggu.

Walaupun, aku suka kesemua kisah mereka tapi aku paling tersentuh bila Jose Fernandez yang kebetulan baru balik dari angkasa lepas time tu berkata [lebih kurang] dalam video interviewnya dengan oprah : jika didunia, kita melihat bumi ini terpisah kerana sempadan politik tapi jika dilihat dari angkasa lepas bumi ini adalah satu, kalaulah semua pemimpin dunia boleh melihat ini, dunia kita pasti akan aman.

Komen aku : Setuju!!! sebabnya, letih tau dengar asyik perang je sana-sini, muak. So, bawah ni aku share video Ben Youcef laung azan dalam gereja, aku terharu juga sebab adanya usaha persefahaman antara kristian, islam dan yahudi dalam ni. Kalaulah semua manusia itu boleh terima bahawa bumi ini memang satu dan hanya milik Tuhan sepenuhnya, mesti hidup manusia sejagat jadi mudah, tersangat mudah!
 

Wednesday, February 1, 2012

sekadar fakta

10 / 11 Parlimen Kuala Lumpur adalah milik PR.

Cheras                  - Tan Kok Wai(DAP)
Bukit Bintang       - Fong Kui Lun(DAP)
Batu                      - Tian Chua(PKR)
Wangsa Maju        - Wee Choo Keong(BEBAS)
Titiwangsa            - Lo Lo Ghazali(PAS)
Lembah Pantai      - Nurul Izzah Anwar(PKR)
Kepong                 - Tan Seng Giaw(DAP)
Seputeh                 - Teresa Kok(DAP)
Bandar Tun Razak - Khalid Ibrahim(PKR)
Segambut               - Lim Lip Eng(DAP)
Setiawangsa - Zulhasnan Rafique(BN)

WP Putrajaya - Adnan Mansur(BN)

WP Labuan - Yusuf Mahal(BN)

Friday, January 27, 2012

alamak! bukan saya....

Ramai yang tanya aku pasal entry lepas, pasal perenggan last aku tulis tu, kebanyakannya tanya berkias tapi ada seorang tu [adik aku] tanya direct, weh, laki ko buat hal ke?

Mula-mula bingung juga aku, sebab tak tahu pucuk pangkal tiba-tiba dia tanya gitu, bila aku tanya kenapa dia cakap sebab aku tulis macam tu dalam blog, hahaha....untuk pengetahuan sekelian, last paragraph tu takde kena mengena dengan hidup dan kehidupan aku, dulu mahupan saat aku menulis entry ini, hal esok aku tak tau. Itu urusan Allah.

Jadi, jangan salah faham ya, saya, laki dan anak-anak setakat ni, alhamdulillah.