Tidak tahu bagaimana utk memulakan kata-kata namun semalam aku baru sahaja memasang tekad tidak akan berkasar juga untuk tidak selalu memarahi Dhanie & Rafael, Mungkin sebab rafael adik dan masih kecil maka dia tidak pernah dimarahi berbanding dhanie, kalaulah dihitung-hitung semenjak dhanie genap 3 tahun aku semakin malar untuk selalu memarahinya..entah kenapa, kadang-kadang aku memarahinya seperti dialah tempat aku melepaskan geram & amarah...
Dan setiap kali saat dhanie dalam keadaan tidur, aku akan dihurung rasa bersalah yang teramat kerana menjadikan dia sasaran kemarahan, namun ada keadaan aku merasa tidak perlu untuk merasa bersalah disebabkan oleh perangai dhanie sendiri, dan merasa aku telah menghukum dhanie setimpal dengan perbuatannya. Walaupun, aku tidak pernah menyakiti anak-anak secara fizikal tetapi aku tahu mental mereka seringkali disakiti kerana sering dimarahi oleh aku. Walau sebenarnya, mereka lah dunia dan nafas sebenar aku tapi nampaknya aku masih belum benar-benar mengambil tanggungjawab menjaga amanah allah yang dititipkan ini, sesungguhnya mereka juga adalah pinjaman dan seharusnya sebagai amanah aku jaga mereka sebaik dan semampu yang aku boleh...tapi...(alangkah, ruginya aku!!!...)
tetapi semalam aku akhirnya menguatkan hati dan tekad untuk berubah agar menjadi seorang ibu yang lebih punya sifat sabar selepas membaca kisah seorang anak dan seorang ibu yang terlalu tabah dan kuat mengharungi dugaan hidup yang bukan kepalang, kisah bagaimana seorang ibu yang sentiasa bersabar dalam mencurahkan seluruh jiwa raga & Kasih sayangnya hanya untuk si puteri tersayang yang "terlalu istimewa" , sungguh si ibu ini tidak pernah sedikitpun mengeluh, tidak pernah merungut, malah tidak pernah mengharap pengorbanannya dibalas, apalagi bila si bidadari kecil sanjungan hatinya diuji dengan penyakit dan kesakitan yang maha hebat dan akhirnya saat si bidadari kecil itu pergi si ibu masih juga tabah malah masih mampu redha dengan kepergian abadi si puteri kecil itu...aduhh...
Sungguh!aku tidak mampu menghalang air mata ini dari terus mengalir, malah sejak dari petang semalam, hatiku sebak teringatkan kisah si bidadari kecil berjuang hidup melawan kesakitan yang akhirnya menyerah pada kudrat kecil nya sebagai hamba Allah!...Sungguh! sejuta keinsafan menjalar dalam diri ini bila menghayati jerih-payah si ibu yang sama-sama bertarung dengan bidadari hatinya, meredah segala kepayahan dengan harapan untuk melihat agar si bidadari kecil ini mendapat hanya yang terbaik sepanjang sela nafasnya...
Dan betapa, sebagai seorang ibu yang mempunyai 2 orang anak yang aktif & sempurna , aku terlalu daif dan hina jika dibandingkan dengan si ibu kepada bidadari kecil ini...
Aku selalu merungut kerana terlalu letih bila terpaksa menguruskan 2 orang anak kecil dari A-Z, aku mengeluh kerana aku tinggal berjauhan dengan keluarga di kampung dan menanggung semua suka-duka di sini sendirian, aku menangis kerana suami kadang-kadang tidak mampu untuk memahami kehendak dan kemahuan ku, aku bersedih akan keadaan hidup yang selalu tidak menyebelahi aku, malah aku senantiasa menyesal akan semua ketentuan yang menimpa diriku, jahilnya aku!!!
Jikalau aku dibandingkan dengan ibu kepada si bidadari kecil ini, betapa kepayahan ku hanyalah seperti debu-debu halus yang hanya sebesar zarah, tidak terbanding dengan kepayahan seorang ibu yang menguruskan segala-galanya untuk si puteri tersayang, pun itu si ibu masih terus saja senyum tanpa merungut kerana padanya kebahagiaan si bidadari itulah sandaran utamanya, ahh...begitu sekali pengorbanan si ibu...
Jikalau aku hisab diri ini berbanding ibu si bidadari kecil ini nyata aku sejuta kali lebih mudah & senang daripada itu, pun...aku masih tidak mampu untuk bersyukur atau berterima kasih....
Dan, atas kesedaran tinggi menggunung ini, aku berjanji anak yang dua itu tidak akan aku seksa perasaan mereka, aku bersumpah yang aku mahu menjadi mommy yang akan memberikan mereka sejuta perasaan kasih dan beribu perasaan sayang untuk mereka nikmati....ya, aku mahu sentiasa mengasihi mereka. Tidak terbayang rasanya hidup ini andai tiba-tiba sahaja mereka diambil daripadaku...aduh..
Ya!Allah, berikanlah aku sekali lagi peluang untuk menebus kesalahan ku ini, sesungguhnya aku ibu yang leka, yang alpa, yang lalai, yang imannya kurang dalam menjaga amanahMu ini...berikanlah aku sedikit lagi kesempatan agar aku mampu menabur kasih dan sayang yang tak berpenghujung hanya kepada mereka ,anak-anakku ...Dhanie & Rafael...Amin..
NOTE:-Sejuta penghargaan kepada Pn.Ayu (Si ibu yg sungguh "superb" mengharungi segala dugaan dan cabaran) & kepada si bidadari kecil yang kisahnya terlalu mencuit rasa ("Princess" Alana Qish)...bersemadilah dengan tenang disana bersama rindu,cinta,kasih & sayang ibumu yg tidak bertepi)...Al-Fatihah.. ..
No comments:
Post a Comment